Sinar Harian
SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memburu pengasas program eHati bersama suaminya yang dipercayai berada di luar negara menerusi kerjasama dengan pihak polis antarabangsa (Interpol).Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, individu berkenaan belum berjaya dikesan setakat ini."Individu-individu yang sedang dicari masih lagi belum ditemui dan kita percaya mereka berada di luar Malaysia ketika ini,"Tindakan sewajarnya telah diambil bagi memastikan tangkapan dapat dilaksanakan sekiranya suspek dikenal pasti di negara berkaitan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.Menurutnya,kerjasama dengan Interpol telah dimulakan sejak peringkat awal siasatan."Sekiranya terdapat sebarang tangkapan, pihak Interpol akan memaklumkan kepada PDRM dan tindakan lanjut akan diambil," katanya.Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri itu telah dikenakan waran tangkap selepas pertuduhan mahkamah dilaksanakan terhadap mereka.Kedua individu itu dipercayai melarikan diri ke sebuah negara Asia Tenggara menggunakan laluan sah pada 13 Oktober tahun lalu, iaitu sehari sebelum pertuduhan dibuat di mahkamah.Dalam perkembangan sama, polis turut membuka kertas siasatan terhadap program motivasi perkahwinan eHati yang mencetuskan kontroversi pada Jun tahun lalu.Susulan siasatan dijalankan, seramai 95 individu telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung penganjuran program motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 di sini pada September tahun lalu.Selain itu, siasatan turut mendapati terdapat adegan bogel dalam acara ketika program berkenaan dijalankan.
Go to News Site