Sinar Harian
TAWAU - Tiga remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah seksual melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dalam kejadian berasingan di daerah ini.Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dua daripada suspek berusia 14 dan 17 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 11.50 pagi Isnin di sebuah kampung di daerah ini.Menurutnya, seorang lagi suspek juga berusia 17 tahun ditahan menerusi tangkapan susulan kira-kira jam 1.45 tengah hari pada hari yang sama di perkarangan IPD Tawau."Tangkapan dibuat susulan laporan polis diterima pada Sabtu lalu, berhubung dakwaan perbuatan jenayah seksual yang berlaku terhadap mangsa di beberapa lokasi berasingan sekitar daerah ini sejak November tahun lalu hingga Februari tahun ini."Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian dengan suspek berbeza, termasuk di kawasan rumah dan premis awam."Seorang lagi individu turut disiasat berhubung satu kejadian berasingan yang berlaku di sebuah sekolah, di mana mangsa dipercayai dipaksa melakukan perbuatan tidak senonoh," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Jasmin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017."Polis turut menjalankan soal siasat serta mendapatkan keterangan lanjut bagi melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan," katanya.Beliau dalam pada itu turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan serta pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko jenayah seksual."Kes seperti ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara," katanya.
Go to News Site