Sinar Harian
MELAKA - Seorang pemandu peribadi berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Selasa atas lima pertuduhan mengedar dadah pada Mac lalu.Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Chai Koh Chun, 55, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 176.42 gram di sebuah rumah di Jalan Samarinda 5, Taman Satu Krubong, sekitar jam 4 petang pada 8 Mac lalu.Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedar dadah jenis nimetazepam seberat 150.88 gram di lokasi, tarikh dan masa sama.Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali.Tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan mengedar dadah jenis sama di lokasi dan tarikh sama, termasuk MDMA dengan anggaran berat kasar masing-masing 269,382.78 gram dan 298,650 gram serta satu lagi pertuduhan melibatkan ketamin.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif manakala tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja dan Amy Chong.Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 18 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.Media sebelum ini melaporkan polis menumpaskan sindiket dadah bernilai RM86 juta menerusi tiga serbuan ke atas makmal haram dan stor dadah sintetik jenis MDMA pada 6 dan 8 Mac lalu.Rentetan itu pada 17 Mac lalu, tertuduh bersama dua individu lain iaitu Sim Jia Xian, 20, dan Ong Wan Qi, 23, turut didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 atas pertuduhan mengedar dadah jenis nimetazepam dengan anggaran berat kasar 1,735.15 gram.Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 1 pagi, 6 Mac lalu di sebuah rumah di Jalan PB 1, Taman Puncak Bertam, Melaka.
Go to News Site