Sinar Harian
MAKKAH – Malaysia sekali lagi dipilih sebagai antara negara terawal di dunia yang berjaya mengagihkan Kad Nusuk sepenuhnya kepada jemaah haji di dalam negara sendiri bagi musim haji 1447H/2026M.Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad berkata, kejayaan itu hasil kerjasama erat tiga pihak membabitkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, TH serta syarikat Holiday Inn Bakkah selaku pengendali jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.Menurut beliau, inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan kejayaan projek rintis musim haji lalu apabila Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama dipilih mengedarkan Kad Nusuk kepada jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci."Alhamdulillah, Malaysia dipilih menjadi antara negara terawal untuk inisiatif ini yang merupakan kesinambungan kejayaan projek rintis pada musim haji tahun lepas."Malaysia melakar sejarah sebagai negara pertama yang dipilih untuk mengedarkan Kad Nusuk kepada para jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi dalam usaha berterusan menyediakan kemudahan serta keselesaan kepada jemaah haji."Selari dengan matlamat TH untuk memudahkan urusan perjalanan teragung jemaah haji, inisiatif ini membolehkan persiapan haji yang lebih teratur, mengelakkan kesesakan semasa ketibaan di Arab Saudi dan menjamin kelancaran perjalanan ibadah jemaah haji Malaysia," ujarnya.Kad Nusuk berfungsi sebagai dokumen rasmi pengenalan diri jemaah haji yang mengandungi pelbagai maklumat penting serta permit kebenaran untuk memasuki kawasan Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Arafah, Muzdalifah dan Mina.Sehubungan itu, Mustakim mengingatkan semua jemaah supaya menjaga kad pengenalan diri dan Kad Nusuk yang dibekalkan dengan baik berikutan kawalan keselamatan akan dipertingkatkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, khususnya di laluan masuk ke kawasan ibadah haji.
Go to News Site