Collector
Baja Organik IWK: Alternatif lestari bagi pekebun kecil depani krisis bekalan baja | Collector
Baja Organik IWK: Alternatif lestari bagi pekebun kecil depani krisis bekalan baja
Sinar Harian

Baja Organik IWK: Alternatif lestari bagi pekebun kecil depani krisis bekalan baja

Ketidaktentuan geopolitik dunia kini memberi kesan langsung kepada sektor pertanian global, termasuk Malaysia. Laporan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menunjukkan gangguan bekalan baja akibat konflik antarabangsa telah mencetuskan ancaman serius terhadap keselamatan makanan melalui pengurangan pengeluaran dan peningkatan harga.Situasi ini menjadi semakin kompleks apabila konflik di Timur Tengah serta sekatan eksport oleh negara pembekal utama seperti China menjejaskan rantaian bekalan. Kesannya, kos dan ketersediaan baja menjadi tidak menentu, sekali gus memberi tekanan kepada petani tempatan.Semasa pelancaran Dasar Keselamatan Makanan Negara 2023 (DKMN 2030), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof menegaskan bahawa kebergantungan terhadap bekalan luar menjadikan negara terdedah kepada kejutan ekonomi global yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat melalui peningkatan harga makanan.Kebergantungan import tambah risikoMalaysia ketika ini hanya mampu menghasilkan sekitar 39 peratus keperluan baja domestik. Selebihnya bergantung kepada import, termasuk dari China yang membekalkan sebahagian besar baja negara.Dalam masa sama, gangguan laluan perdagangan utama seperti Selat Hormuz yang membawa sebahagian besar perdagangan baja dunia turut meningkatkan kos logistik dan tempoh penghantaran.Keadaan ini menyebabkan pengeluar baja tempatan berdepan kenaikan harga bahan mentah sebanyak 100 hingga 150 peratus dalam tempoh singkat.Bagi petani berskala besar, cabaran ini mungkin masih boleh ditampung. Namun bagi pekebun kecil, kesannya jauh lebih besar. Dengan sumber kewangan terhad dan keluasan tanah kecil, mereka sukar menyerap kenaikan kos serta menghadapi risiko gangguan bekalan yang berpanjangan.Pekebun kecil paling terkesanKebergantungan kepada baja import menjadikan pekebun kecil antara golongan paling terdedah. Tanpa akses konsisten kepada baja, hasil tanaman boleh terjejas, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.Berbeza dengan syarikat besar yang mampu membeli secara pukal atau menyerap kos tambahan, pekebun kecil memerlukan pendekatan lebih praktikal dan kos efektif untuk terus bertahan.Justeru, penyelesaian tempatan yang mampan dan berdaya saing dilihat semakin penting dalam membantu golongan ini menghadapi cabaran semasa.Inovasi baja organik IWKDalam konteks ini, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd melalui Indah Water Research Centre (IWRC) tampil dengan inisiatif menghasilkan baja organik berasaskan biosolid daripada proses rawatan kumbahan.Kajian pra-pengkomersilan yang dijalankan mendapati baja tersebut berupaya meningkatkan pertumbuhan tanaman dan memperbaiki kualiti tanah. Ujian melibatkan tanaman landskap seperti Vinca dan Marigold, serta tanaman makanan seperti okra, sawi dan terung menunjukkan hasil yang positif.Baja ini membekalkan nutrien penting seperti nitrogen, fosforus dan kalium yang diperlukan untuk perkembangan tanaman, sekali gus membuktikan keberkesanannya sebagai alternatif kepada baja konvensional.Keberkesanan terbukti di lapanganPercubaan di ladang kelapa menunjukkan pokok yang terjejas akibat cuaca panas melampau berjaya dipulihkan selepas penggunaan baja organik IWK bersama penggalak tumbuhan IWK selama lima bulan. Pokok kembali subur dengan pertumbuhan pelepah baharu dan penghasilan buah.Selain itu, penggunaan pada rumput Napier selama 15 bulan turut menunjukkan peningkatan ketara dari segi biomas dan pertumbuhan vegetatif.Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, penggunaan baja tersebut mampu mengurangkan kos pembelian baja sehingga 68 peratus, sekali gus memberi kelegaan kepada pekebun kecil.Menurutnya, pendekatan formulasi baja organik ini memberi tumpuan kepada keberkesanan nutrien bagi setiap penggunaan, berbanding kebergantungan kepada kuantiti tinggi seperti baja kimia.Baja organik IWK dihasilkan daripada enap cemar kumbahan yang dirawat dan mengandungi kira-kira tujuh peratus unsur NPK. Selain membekalkan nutrien, ia juga membantu menstabilkan keasidan tanah dan menyokong ekosistem tanah yang lebih sihat.Dari segi keselamatan, baja ini telah melalui pelbagai ujian termasuk analisis toksikologi oleh SIRIM yang mengesahkan ia selamat digunakan tanpa risiko pencemaran.Malah, penggunaannya turut mendapat pengiktirafan apabila Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan bahawa baja berasaskan biosolid adalah harus, dengan syarat selamat dan memberi manfaat. Keputusan ini disokong oleh negeri Pahang berdasarkan keputusan awal daripada Negeri Sembilan, Kedah dan Selangor.Hala tuju dan potensi masa depanPada masa sama, IWK kini berupaya menghasilkan antara empat hingga lima tan baja organik sehari, dengan potensi pengembangan di empat wilayah - Utara, Tengah, Timur dan Selatan Semenanjung Malaysia bagi mengurangkan kos logistik.Walaupun belum memenuhi keperluan industri perladangan berskala besar, baja organik IWK dilihat sebagai alternatif praktikal untuk pekebun kecil. Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada baja import, malah menyokong kelestarian alam sekitar melalui pendekatan ekonomi kitaran.

Go to News Site