Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Tindakan terjun dari tingkat satu sebuah flat di Pantai Dalam di sini, pada Rabu konon mahu melepaskan diri daripada dicekup dalam operasi penguatkuasaan hanya sia-sia.Ini selepas tindakan lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an itu berjaya ditahan apabila tindakan pantas anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur yang melaksanakan kepungan awal."Minta maaf tuan. Saya cuma takut tadi tiba-tiba ada orang datang ketuk-ketuk pintu."Saya ada pasport, cuma pada majikan," katanya dalam keadaan berkaki ayam dan terjengkit-jengkit.Selain itu, operasi bermula kira-kira jam 12.10 tengah malam itu turut mengesan tindakan segelintir warga asing memanjat bumbung balkoni selain melarikan diri ke kawasan gelap.Malah, ada segelintir penghuni pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berpura-pura dan enggan membuka pintu rumah hingga pasukan serbuan terpaksa menggunakan alat pemotong bagi membuka kunci.Tinjauan Sinar Harian turut mendapati, terdapat unit rumah yang sesak dengan penghuni warga asing biar pun terdapat dua bilik sahaja.Seorang penduduk tempatan dikenali Syaril, 38, berkata, kehadiran warga asing di flat tersebut meningkat ketara sejak lima tahun kebelakangan ini."Ini rumah keluarga dan saya tinggal di sini sejak 1999. Dahulu kebanyakan penduduk adalah warga tempatan, tetapi sejak lima tahun kebelakangan ini, semakin ramai warga asing berpindah masuk, terutama dari Indonesia, Pakistan dan Nepal."Isu kebersihan agak membimbangkan. Ada yang meludah dan kurang menjaga kebersihan menyebabkan persekitaran kurang selesa," katanya ketika ditemui.Sementara itu, Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuala Lumpur berkata, seramai 90 individu diperiksa terdiri daripada 74 lelaki dan 16 wanita."Hasil pemeriksaan 46 individu ditahan untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63."Warga asing yang ditahan membabitkan 29 warga Pakistan, Indonesia (16 orang) dan India (1 orang)," ujarnya.
Go to News Site