Collector
RMHC Malaysia beri harapan buat anak autisme | Collector
RMHC Malaysia beri harapan buat anak autisme
Sinar Harian

RMHC Malaysia beri harapan buat anak autisme

Peningkatan ketara jumlah kanak-kanak yang didiagnosis dengan gangguan spektrum autisme (ASD) di Malaysia kini menjadi satu cabaran besar kepada negara.Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Mac 2026, daripada 833,425 orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar di negara ini, seramai 88,934 daripadanya merupakan kanak-kanak autisme.Namun hakikatnya akses kepada kemudahan terapi, khususnya bilik terapi sensori, masih jauh daripada mencukupi, terutama bagi keluarga di luar bandar.Justeru, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus memperkukuh kerjasama strategiknya dalam menyediakan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di seluruh negara.Terbaharu, sebuah Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald diserahkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah di Seremban sempena Bulan Kesedaran Autisme.Inisiatif berkenaan melibatkan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi melengkapkan ruang terapi dengan peralatan integrasi sensori mengikut standard, sekali gus membolehkan sesi terapi dijalankan secara lebih tersusun dan konsisten.Penyerahan tersebut sekaligus menjadikan ia bilik terapi sensori ke-37 yang dibangunkan oleh RMHC Malaysia, yang memberi manfaat kepada lebih 4,500 kanak-kanak setiap tahun.Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd Nasri Mohd Nordin berkata, akses kepada kemudahan yang sesuai adalah penting dalam menyokong perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas.Namun katanya, disebabkan kemudahan itu sangat terhad terutama di kawasan luar bandar, ada anak-anak istimewa yang ketinggalan mendapatkan rawatan terapi."Jadi, sebab itulah kita mengambil inisiatif bekerjasama dengan JKM melalui Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) bagi menyediakan kemudahan ini."Bilik terapi sensori ini menyediakan persekitaran yang selamat, lengkap dan kondusif untuk sesi terapi dijalankan secara konsisten," katanya.Beliau berkata, dengan adanya sokongan fasiliti serta latihan berkala kepada para terapi sebanyak tiga kali setahun pihaknya percaya ia dapat memberi impak lebih menyeluruh kepada perkembangan anak-anak serta kualiti hidup keluarga mereka.Tambahnya, pihaknya memberi perhatian terhadap kemudahan tersebut kerana mendapati ia kini menjadi satu keperluan penting."Situasi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut menjadi cabaran global apabila jumlah kanak-kanak autisme terus meningkat saban tahun."Jika di kawasan bandar, satu sesi terapi boleh mencecah sehingga RM250, sekali gus menjadi beban kepada ibu bapa, apatah lagi bagi keluarga berpendapatan rendah dan sebab itu kemudahan ini sangat penting,"katanya.Selain itu, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan mengakui kerajaan tidak mampu bergerak bersendirian dalam menyediakan kemudahan terbabit ditambah pula statistik menunjukkan peningkatan jumlah anak-anak autisme di seluruh negara."Kerajaan memang tak mampu menyediakan kemudahan berkenaan secara sendirian dan sebab itu kita sangat mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak"Kerjasama antara sektor awam dan swasta amat penting bagi memperluaskan akses kepada sokongan berkualiti untuk kanak-kanak berkeperluan khas termasuk melalui rakan pelaksana seperti RMHC Malaysia yang konsisten membangunkan kemudahan bilik terapi," katanya.Sementara itu, Pengetua Taman Sinar Harapan, Khairunnisa Zainal pula memaklumkan bahawa kemudahan bilik terapi yang disediakan banyak membantu perkembangan emosi dan tingkah laku kanak-kanak berkeperluan khas di pusat berkenaan.Menurutnya, perubahan sikap dalam kalangan penghuni dapat dilihat dengan jelas apabila emosi mereka menjadi lebih terkawal berbanding sebelum ini."Bilik terapi ini merupakan antara aktiviti harian yang memberi tumpuan kepada pengurusan tingkah laku. Anak-anak di sini terdiri daripada pelbagai kategori, justeru keperluan mengurus tingkah laku mereka perlu disokong melalui pendekatan emosi."Dengan adanya kemudahan ini, ia membantu meningkatkan perkembangan tingkah laku mereka ke arah yang lebih baik," katanya.Beliau berkata, sebelum ini pusat berkenaan hanya mempunyai bilik aktiviti yang lebih tertumpu kepada perkembangan motor halus dan motor kasar."Bagaimanapun, dengan adanya bilik sensori ini, kita dapat menambah baik aspek regulasi emosi, yang merupakan keperluan penting bagi kanak-kanak berkeperluan khas."Selepas emosi dapat diuruskan dengan baik, barulah tingkah laku mereka lebih mudah dibentuk. Kita dapat lihat perubahan itu kini lebih ketara," katanya.

Go to News Site