Sinar Harian
SEREMBAN - Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan tidak terkesan atau mengalami apa-apa kerugian susulan UMNO-Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu.Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, pihaknya hanya menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO selepas parti terbabit mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.Menurutnya, ia bertujuan menjamin kestabilan kerajaan negeri serta memastikan kelangsungan pentadbiran berjalan lancar."Tempoh hari, kami hanya menyatakan kesediaan bekerjasama dengan UMNO-BN Negeri Sembilan selepas mereka mengumumkan sudah hilang keyakinan terhadap Menteri Besar."Tapi apabila malam tadi mereka buat keputusan lain, kita tiada masalah dan tak rasa rugi apa-apa pun," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Beliau berkata, apa yang penting tiga wakil rakyat Pas dan dua daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus konsisten menjalankan khidmat kepada rakyat serta memainkan peranan semak dan imbang kerajaan.Namun kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting itu, secara realitinya rakyat melihat bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Aminuddin telah mula goyah."Walaupun Aminuddin kata semuanya berjalan lancar, tapi bagi saya secara realiti apa berlaku hari ini menunjukkan keadaan itu sebaliknya."Saya percaya urus tadbir itu tidak akan berjalan lancar. Tapi kami sebagai pembangkang harapkan situasi ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana tidak mahu akhirnya nanti rakyat yang terkesan," katanya.Selain itu, Mohd Fairuz turut menyatakan rasa hormat terhadap UMNO Negeri Sembilan di bawah pimpinan Datuk Seri Jalaluddin Alias apabila konsisten dengan pendirian berkenaan Aminuddin, namun terpaksa akur dengan keputusan parti.Sebelum ini media melaporkan, UMNO berpendirian untuk menghormati ADUN BN Negeri Sembilan yang kekal hilang kepercayaan kepada Aminuddin, namun terus menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu.Isu tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO yang berlangsung pada 29 April 2026.Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu telah mendengar penjelasan tuntas daripada Jalaluddin.Menurutnya, tindakan ADUN itu diambil kerana sikap Menteri Besar membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
Go to News Site