Sinar Harian
MELAKA - Seorang pegawai kanan tentera berpangkat mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis terhadap lima pertuduhan mengemukakan dokumen pembekalan tidak wujud membabitkan tuntutan bernilai lebih RM225,000, dua tahun lalu.Tertuduh, D Vivekananthan, 43, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan Pegawai Pemerintah 9 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (9 SKN RAJD) Kem Terendak didakwa menggunakan dokumen invois palsu bagi memperdayakan prinsipal beliau iaitu Kementerian Pertahanan Malaysia.Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat skuadron berkenaan di Kem Terendak, Melaka Tengah antara Mac hingga November 2024.Bagi pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh didakwa mengemukakan invois daripada beberapa syarikat berbeza melibatkan kerja pembekalan bahan mentah bagi pelbagai projek penyelenggaraan dan pembinaan, sedangkan pembekalan tersebut tidak pernah dilakukan.Ia termasuk pembinaan bengkel latihan berjumlah RM80,000; garaj balai pengawal RM35,523.75; stor latihan RM20,000; bilik sejarah RM39,950 dan blok penginapan RM49,545Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari yang mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.Bagaimanapun, peguam, P Thisharmini mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan penyara tunggal keluarga, mempunyai seorang isteri dan anak berusia enam tahun selain menanggung ibu mentua yang menghidap sakit jantung serta adik beradik lain.Menurutnya, tertuduh yang telah berkhidmat selama 18 tahun dalam tentera juga mempunyai rekod perkhidmatan baik serta memberikan kerjasama sepanjang prosiding.Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaanMahkamah menetapkan 5 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Go to News Site