Sinar Harian
SHAH ALAM – Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan panduan pelarasan perbelanjaan mengurus tidak akan menjejaskan petugas barisan hadapan atau 'frontliners' termasuk perkhidmatan asas kepada rakyat kerana ia hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal.Menurut MOF, semua perbelanjaan teras termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan akan diteruskan seperti yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2026."Ini meliputi perbelanjaan teras untuk kementerian kritikal seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang merupakan antara kementerian yang mempunyai peruntukan tertinggi dalam Belanjawan tahun ini."Panduan pelarasan perbelanjaan termasuk langkah seperti penangguhan penganjuran acara, mengehadkan kunjungan dan latihan luar negara, penjimatan utiliti, mengoptimumkan rizab simpanan agensi serta penangguhan pengisian jawatan bukan kritikal," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Pada Rabu, MOF dilapor mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.Cadangan itu dibuat susulan keperluan menyemak semula perbelanjaan kerajaan khususnya ketika beban subsidi dijangka meningkat dan memberi tekanan kepada kewangan negara.Menurut laporan, pengurangan berkenaan membabitkan perbelanjaan operasi kedua-dua kementerian, namun pihak MOF memberi jaminan bahawa perkhidmatan asas tidak akan terjejas.Syor pengurangan tersebut dilihat sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk mengekang perbelanjaan dan memastikan kemampanan fiskal, sejajar dengan usaha lebih luas dalam pengurusan kewangan negara menjelang pelaksanaan dasar berkaitan Belanjawan 2026.Mengulas lanjut, MOF berkata, langkah pelarasan itu selaras dengan pengurusan kewangan negara yang bertanggungjawab serta mengikut keutamaan penting bagi mewujudkan ruang fiskal.Katanya, ruang fiskal terbabit diperlukan untuk membiayai bantuan dan subsidi bersasar khususnya bagi melindungi golongan serta sektor rentan yang terkesan akibat krisis bekalan global."MOF akan terus berusaha secara proaktif dan sistematik untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan yang optimum bagi memperkukuh daya tahan negara dalam berhadapan krisis bekalan global yang dijangka memberi impak mendalam dan berpanjangan kepada ekonomi negara."MOF juga komited untuk terus memperkukuh keupayaan tindak balas krisis dengan meneliti pendekatan yang seimbang dengan memastikan perkhidmatan asas terus dibiayai, sokongan kepada ekonomi kekal mencukupi dan pada masa yang sama kedudukan kewangan negara kekal kukuh," ujarnya.
Go to News Site