Collector
Bantuan guaman percuma kini untuk pendapatan hingga RM50,000 | Collector
Bantuan guaman percuma kini untuk pendapatan hingga RM50,000
Sinar Harian

Bantuan guaman percuma kini untuk pendapatan hingga RM50,000

SHAH ALAM - Kerajaan mengumumkan langkah proaktif dalam memperkukuh perlindungan pekerja melalui perluasan akses keadilan, termasuk meningkatkan had kelayakan pendapatan bagi bantuan guaman kepada RM50,000.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif itu dilaksanakan melalui Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2026 bagi memastikan golongan pekerja, khususnya yang berpendapatan rendah, mendapat pembelaan undang-undang yang sewajarnya."Kerajaan juga menyediakan khidmat mediasi percuma bagi pertikaian kontrak bernilai RM250,000 ke bawah. Langkah ini bagi membolehkan penyelesaian pertikaian dibuat dengan lebih cepat dan kos efektif tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang," ujarnya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Pekerja 2026 pada Jumaat.Mengulas mengenai agenda reformasi institusi, Azalina berkata, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dan penubuhan Ombudsman Malaysia akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.Jelas beliau, penubuhan Ombudsman Malaysia akan berperanan sebagai saluran aduan bebas terhadap sebarang salah laku pentadbiran, manakala FOI pula akan membolehkan pekerja mendapat akses lebih luas kepada maklumat berkaitan hak dan dasar buruh."Ini akan mempertingkatkan ketelusan serta akauntabiliti, sekali gus menjamin ruang bersuara dan perlindungan yang lebih berkesan kepada pekerja di negara ini," ujarnya lagi.Dalam pada itu, komitmen kerajaan turut diperkukuhkan menerusi Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025-2030.Pelan ini memberi penekanan khusus kepada sektor buruh bagi menangani amalan perniagaan tidak adil serta memastikan pembangunan ekonomi negara seiring dengan keadilan sosial.Tambah beliau, kerajaan juga memperkukuh Dasar Peluang Kedua menerusi inisiatif 'fastrack' yang bertujuan mempercepatkan proses pelepasan status muflis, terutama bagi golongan rentan."Sambutan Hari Pekerja bertema 'Pekerja Madani Kesuma Bangsa' tahun ini adalah manifestasi iltizam Kerajaan MADANI untuk membina sistem yang lebih adil dan inklusif. Kita mahu setiap pekerja dilindungi, dihargai dan diberi peluang saksama," tambahnya.

Go to News Site