Sinar Harian
PUTRAJAYA – MyDigital ID terus memperkukuh peranannya sebagai asas kepercayaan dalam ekosistem digital negara apabila lebih 11.7 juta rakyat Malaysia telah berdaftar setakat ini.Ketua Pegawai Eksekutif My Digital ID Sdn Bhd, Nik Hisham Nik Ibrahim berkata, perkembangan itu menunjukkan penerimaan semakin meluas terhadap keperluan identiti digital yang sah dan selamat."Usaha ini kini telah berkembang pada skala besar dengan lebih 11 juta rakyat Malaysia berdaftar dan lebih 100 aplikasi telah diintegrasikan merentasi platform kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta, dengan ratusan lagi bakal menyusul," katanya.Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Forum dan Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) MyDigital ID bertemakan Powering Trusted Access Across Malaysia’s Digital Ecosystem, di sini pada Khamis.Menurutnya, ketika Malaysia melangkah ke arah masa depan berasaskan digital, persoalan utama bukan lagi sama ada peralihan itu perlu dilaksanakan sebaliknya fokus kini tertumpu kepada cara pelaksanaan yang menyeluruh."Tetapi persoalannya ialah bagaimana kita melaksanakannya dengan cara yang bukan sahaja cekap dan berinovatif, tetapi juga dipercayai, menyeluruh dan mampan," katanya.Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap kemudahan digital yang diperkenalkan turut diselangi cabaran baharu berkaitan keselamatan, tanggungjawab dan kepercayaan pengguna.Jika tidak ditangani dengan teliti, Nik Hisham berkata, langkah perlindungan yang asalnya berniat baik boleh menyebabkan persediaan terbantut termasuklah kebolehupayaan dan menjejas keterangkuman."MyDigital ID berfungsi sebagai akar kepercayaan identiti digital di Malaysia, disahkan kerajaan, menghormati privasi dan boleh diintegrasikan merentasi perkhidmatan, platform pelbagai sektor," katanya.Beliau berkata, sistem tersebut berhubung secara langsung dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai sumber tunggal lagi sahih."Kami tidak menyimpan data peribadi. Kami tidak menggantikan MyKad, sebaliknya memperluaskan kepercayaan sedia ada," ujarnya.Setakat ini, lebih 100 aplikasi telah diintegrasikan merangkumi platform kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta, dengan banyak lagi dijangka menyusul.Di majlis itu, MyDigital ID memeterai kerjasama dengan 29 organisasi bagi memperluaskan penggunaan identiti digital nasional Malaysia merentasi sektor-sektor utama negara.Kerjasama itu sekali gus akan memperluas penggunaan MyDigital ID dalam ekosistem kebajikan, sektor pendidikan, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, platform digital serta sektor pemangkin teknologi.Inisiatif berkenaan membolehkan pengguna mengesahkan identiti dengan lebih mudah, di samping memperkukuh perlindungan daripada ancaman penipuan dan penyalahgunaan identiti.Nik Hisham berkata, penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, universiti, badan kebajikan, platform digital dan penyedia teknologi mencerminkan komitmen bersama membina asas digital yang dipercayai."Ia mencerminkan keyakinan bersama bahawa masa depan digital Malaysia perlu dibina atas asas bersama dan diyakini," katanya.Tambah beliau, sesebuah sistem hanya diyakini apabila orang ramai bersedia dan mampu menggunakannya."Apabila akses itu selamat, masyarakat akan menyakini sistem. Mereka akan menggunakannya sekaligus mendapat manfaat darinya," katanya.
Go to News Site