Sinar Harian
KUALA SELANGOR – "Saya terima dengan reda, itu memang anak saya."Demikian luahan sayu seorang bapa, Khaizalullinordin Nordin, 45, yang yakin mayat kanak-kanak lelaki ditemukan di tebing sungai di Sungai Buloh pada Khamis adalah anaknya yang hilang sejak Selasa lalu.Beliau berkata, pengecaman berdasarkan pakaian serta fizikal mangsa yang dikenal pasti di Unit Forensik UiTM."Saya tengok seluar hitam yang dipakai, lepas itu kaki dia, saya tengok kaki dia, saya tahu dan yakin itu memang anak saya."Kalau badan tu.... tapi daripada keadaan fizikal, saya yakin itu anak saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Puncak Alam di sini pada Khamis.Menurutnya, maklumat penemuan mayat itu dimaklumkan oleh adiknya yang mengikuti operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pasukan bomba."Adik saya yang beritahu, dia ikut pasukan bomba sampai ke sungai sebelum pencarian menemukan mayat itu."Sebelum buat pengecaman, dia pesan kalau saya tak kuat iman, jangan tengok, tapi saya nak tengok juga, saya terima," katanya.Tambahnya, dia reda dengan ketentuan Ilahi atas kejadian yang berlaku itu."Bagi saya, itu hanya jasad, dia sudah berada di sisi ALLAH, saya reda dengan keadaannya," ujarnya.Khaizalullinordin berkata, pihaknya kini hanya berharap proses pengecaman DNA dapat disegerakan bagi membolehkan urusan pengebumian dilakukan secepat mungkin."Saya sudah beritahu supaya percepatkan proses pengebumian, tak mahu tangguh lama-lama, tetapi perlu tunggu keputusan DNA."DNA saya dan isteri sudah diambil, jadi sekarang saya tunggu panggilan selanjutnya," katanya.Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa, Khairil Izani, 10, dihanyutkan arus deras ketika hujan lebat sebelum dilaporkan hilang.Usaha mencari dan menyelamat dijalankan kemudiannya menemukan jasad yang dipercayai mayat mangsa di tebing sungai, Sungai Buloh kira-kira jam 1 petang pada Khamis.
Go to News Site