Sinar Harian
SHAH ALAM - Pemuda UMNO mempersoalkan penganjuran program berbentuk pesta air oleh sebuah kementerian yang disifatkan seolah-olah bertukar menjadi acara hiburan seperti disko di tengah bandar raya ini.Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sebelum ini terdapat program kementerian menyediakan hidangan arak, manakala penganjuran terbaharu itu pula dilihat tidak selari dengan nilai masyarakat setempat.Beliau turut mendakwa bantahan yang disuarakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak diberi perhatian oleh pihak menteri terlibat.Sehubungan itu, beliau secara sinis menyatakan harapan agar Perdana Menteri dapat menganugerahkan gelaran "menteri paling kuat bekerja membina imej baik Madani" kepada Menteri Pelancongan susulan penganjuran program terbabit."Moga PMX boleh anugerahkan menteri paling kuat bekerja membina imej baik Madani pada menteri perlancongan ini," ujarnya dalam satu hantaran di Facebooknya bertajuk 'Mohon YAB PMX untuk membatalkan pesta air di Bukit Bintang ini' pada Jumaat.Dalam masa sama, beliau turut meluahkan harapan agar cuaca hujan lebat serta ribut petir berlaku di kawasan penganjuran program berkenaan.Terdahulu, Jawi dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya membantah penganjuran Program Rain Rave Water Music Festival 2026 di Kuala Lumpur yang dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.Menurut kenyataan itu, JAWI menzahirkan kekesalan terhadap penganjuran program tersebut dan berharap agar pihak penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaan serta lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.Kenyataan itu turut merujuk Bayan Linnas Siri Ke-351 bertajuk "Rain Rave Water Music Festival 2026: Hiburan Ada Batas, Penganjur Memikul Tanggungjawab Dan Konsert Berbentuk Maksiat Wajib Dihentikan" dikeluarkan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun ia perlu tertakluk kepada garis panduan syarak.JAWI turut memohon kerjasama semua pihak bagi memastikan sebarang penganjuran program hiburan tidak mengandungi unsur yang boleh menjejaskan kesucian agama dan akhlak masyarakat demi mengelakkan kemudaratan lebih besar.
Go to News Site