Sinar Harian
MAKKAH – Di sebalik keghairahan menunaikan ibadah haji, ramai jemaah sebenarnya berdepan cabaran emosi yang tidak kurang hebat, terutama pada fasa awal ketibaan di Tanah Suci.Pengurus Kaunseling musim haji 1447H, Azlina Abdul Hamid berkata, perubahan mendadak dari segi cuaca, rutin harian dan persekitaran menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi emosi jemaah.Menurutnya, jemaah khususnya yang pertama kali menjejakkan kaki ke luar negara atau ke Tanah Suci lazimnya akan melalui fasa cemas, teruja, rindukan keluarga dan tidak kurang juga berasa ‘hilang arah’."Bila sampai di sini, semuanya berubah, daripada rutin harian, cara hidup hinggalah kepada rakan sebilik yang sebelum ini tidak dikenali."Ada yang rasa teruja, tetapi dalam masa sama wujud rasa cemas dan kekok yang perlu diurus dengan baik," katanya.Beliau berkata, situasi itu jika tidak ditangani boleh menjejaskan fokus jemaah terhadap ibadah yang menjadi matlamat utama mereka.Justeru, unit kaunseling berperanan membantu jemaah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu melalui sokongan emosi dan intervensi awal."Kalau di Madinah mereka berjaya menyesuaikan diri, biasanya di Makkah mereka akan lebih mudah untuk meneruskan rutin ibadah," ujarnya.Azlina berkata, antara cabaran yang sering timbul adalah hubungan antara rakan sebilik yang datang daripada latar belakang berbeza.Katanya, perbezaan budaya, cara hidup dan komunikasi boleh mencetuskan salah faham jika tidak dikendalikan dengan baik."Dalam banyak kes sebelum ini, isu kecil seperti komunikasi boleh jadi besar jika emosi tidak dikawal."Tetapi dengan pendekatan kaunseling, kebanyakan konflik dapat diselesaikan tanpa perlu tindakan drastik seperti pertukaran bilik," katanya.Selain sesi kaunseling, pendekatan turun padang turut dilaksanakan termasuk lawatan dari bilik ke bilik bagi mengenal pasti jemaah yang mungkin memerlukan bantuan tetapi tidak tampil secara terbuka."Tidak semua jemaah selesa untuk meluahkan perasaan, jadi kami yang akan mendekati mereka."Kadang-kadang melalui perbualan santai, kita dapat kesan emosi sebenar yang sedang mereka alami," jelasnya.am masa sama, Azlina berkata, faktor kerinduan terhadap keluarga dan perubahan gaya hidup daripada sibuk kepada lebih lapang juga antara punca tekanan emosi.Sehubungan itu, pelbagai aktiviti termasuk sudut kreatif diperkenalkan bagi membantu jemaah mengisi masa dan mengurangkan tekanan.Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kaunseling bukan bertujuan menyelesaikan masalah sepenuhnya, sebaliknya membantu jemaah memahami dan mengurus emosi sendiri."Perjalanan haji ini adalah perjalanan spiritual, tetapi pada masa sama ia juga melibatkan aspek psikologi yang perlu diberi perhatian."Kami hanya membantu membimbing supaya mereka dapat kembali fokus kepada tujuan utama berada di sini," katanya.Dalam pada itu, beliau menasihatkan bakal jemaah agar membuat persediaan menyeluruh termasuk dari segi emosi sebelum berangkat ke Tanah Suci."Ramai beri fokus kepada fizikal, tetapi emosi juga sangat penting. Kena bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai situasi dan belajar untuk berlapang dada."Itulah kunci untuk melalui ibadah haji dengan lebih tenang dan sempurna," katanya
Go to News Site