Collector
Bentuk generasi muda berintegriti hadapi cabaran masa depan - SPRM | Collector
Bentuk generasi muda berintegriti hadapi cabaran masa depan - SPRM
Sinar Harian

Bentuk generasi muda berintegriti hadapi cabaran masa depan - SPRM

BANGI – Generasi muda merupakan aset negara yang perlu dipersiapkan dengan prinsip kejujuran dan ketelusan bagi membentuk Malaysia yang bebas rasuah.Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, usaha berterusan melalui pendidikan, kesedaran dan pendedahan nilai moral amat penting dalam membina budaya integriti dalam kalangan masyarakat."Pembentukan sahsiah yang kukuh perlu dimulakan sejak usia muda agar generasi akan datang lebih berprinsip dan menolak sebarang bentuk rasuah."SPRM Selangor berharap program seumpama ini dapat diteruskan bagi melahirkan generasi muda yang berintegriti, berprinsip serta mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi cabaran masa depan," katanya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Antirasuah Key Communicator bertemakan Inspirasi Kerjaya – Membina Integriti, Mengharungi Cabaran, Mencipta Kejayaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini pada Khamis.Sementara itu, wakil Pusat PERMATA@Pintar UKM merangkap Pengetua Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz (KTETM), Nurul Hidayah Seah Abdullah berkata, pihaknya menghargai penganjuran program tersebut yang memberi impak positif kepada pembangunan sahsiah pelajar.Menurutnya, pendedahan awal berkaitan integriti dan antirasuah penting dalam membentuk kesedaran dalam kalangan belia sebelum melangkah ke alam pekerjaan.Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, pihaknya komited menyokong program pembangunan belia serta usaha memperkukuh budaya integriti dalam kalangan generasi muda.Beliau berkata, sokongan berterusan terhadap inisiatif pendidikan seperti ini mampu melahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan beretika.Program diadakan ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan integriti, nilai antirasuah serta membina jati diri dalam menghadapi cabaran kehidupan dan kerjaya.Pada majlis sama, turut diadakan penyampaian tajaan oleh PNSB kepada KTETM sebagai simbol sokongan terhadap pembangunan pendidikan dan pembentukan sahsiah pelajar.Program urut diserikan dengan gimik pelepasan TMC Dancers yang akan mewakili Malaysia ke XI World Cup Folklore 2026 di Bulgaria, sekali gus membawa mesej integriti menerusi kempen "Keep Malaysian Clean" di peringkat antarabangsa.Kemuncak acara adalah sesi khas bersama selebriti jemputan, Wani Kayrie yang berkongsi pengalaman kerjaya serta cabaran ditempuhi dalam usaha mencapai kejayaan.Beliau turut menekankan kepentingan disiplin dan integriti sebagai asas utama dalam membina kejayaan yang mampan dalam apa jua bidang diceburi.

Go to News Site