Sinar Harian
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan inisiatif membantu pekerja sempena Sambutan Hari Pekerja 2026.Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya menghargai pengumuman antara lain Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bagi pembangunan modal insan dan kestabilan pasaran buruh, pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 serta Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) sebanyak 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans (OB) wanita secara one-off.Bagaimanapun, kata beliau, MTUC berharap kerajaan turut mempertimbangkan pemberian bantuan kepada pekerja yang mempunyai penyakit kritikal seperti kanser, komplikasi jantung, buah pinggang dan lain lain serta diberikan rawatan di bawah tanggungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)."Selain itu, MTUC harap dana Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dipanjangkan kepada ahli kesatuan sekerja untuk latihan atau kursus."Mungkin boleh pertimbangkan juga tentang pegawai kesatuan yang membantu pekerja dikecualikan daripada cukai kerana pendapatan mereka digunakan bagi menolong golongan ini."Akhir sekali, tambahan caruman majikan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memberikan simpanan persaraan yang tinggi," katanya kepada Sinar Harian.Anwar ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2026 mengumumkan bahawa Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan melaksanakan Pakej Daya Tahan Ekonomi dinamakan PACE sebagai sebahagian strategi pembangunan modal insan dan kestabilan pasaran buruh.Selain itu, beliau turut memaklumkan kerajaan bakal meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan diperluas kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia–Singapura.
Go to News Site