Sinar Harian
BEIJING – Dalam suasana geopolitik dan ekonomi global semakin mencabar, platform Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) kini menjadi jambatan penting membina kepercayaan, kestabilan dan hala tuju masa depan rantau Asia-Pasifik.Sehubungan itu, wartawan Sinar Harian antara 16 media dari negara anggota APEC dibawa menyertai bengkel di Universiti Hal Ehwal Luar China di sini dan lawatan sekitar Zhuhai, Shenzhen dan Guangzhou selama 14 hari.Ia sebagai persiapan menjelang Sidang Kemuncak APEC 2026 di Shenzhen iaitu penganjuran kali ketiga China selaku tuan rumah pada November depan.Bagi Pensyarah Kanan Ekonomi Antarabangsa di universiti berkenaan, Profesor Ran Jijun, evolusi APEC kini bergerak daripada liberalisasi perdagangan kepada usaha memperkukuh kepercayaan antara negara anggota termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.Pendekatan selari konsep komuniti masa depan bersama untuk kemanusiaan yang sering diketengahkan dalam kerangka hubungan antarabangsa China.Dekan Sekolah Pengajian Antarabangsa, Profesor Qu Bo pula menegaskan, kekuatan utama kemajuan China terletak pada kesinambungan antara dasar dan pelaksanaan."Perancangan yang berkesan memerlukan kesinambungan dalam pelaksanaan. Hasil yang dilihat hari ini adalah refleksi kepada strategi jangka panjang," ujarnya.Menurutnya, penekanan terhadap inovasi, teknologi dan pembangunan berkualiti dalam setiap Pelan Lima Tahun yang kini memasuki kali ke-15, menggambarkan usaha memperkukuh daya tahan ekonomi secara mampan.Tasik Yanqi: Di sebalik sejarah APEC 2014Delegasi media negara APEC turut dibawa ke lokasi bersejarah APEC 2014 di Yanqi Lake International Convention Center yang pernah menjadi pentas mesyuarat pemimpin ekonomi dunia.Lawatan bagi memberi gambaran jelas mengenai susun atur fizikal dewan utama selain memperlihatkan aliran atur cara, protokol keselamatan dan koordinasi media.Kawasan sekitar 230 hektar ini bukan sahaja berfungsi sebagai lokasi persidangan tetapi turut mengekalkan ekosistem biodiversiti yang tersusun.Terletak di daerah Huairou kira-kira 60 kilometer dari pusat Beijing, kawasan ini dikelilingi tasik luas, pemandangan banjaran gunung bersambung terus dengan Tembok Besar China selain landskap taman disusun rapi umpama sebuah lukisan hidup.Sekeliling tasik dihiasi pokok bunga bermusim seperti peony, chrysanthemum dan sakura serta pokok maple yang bertukar merah keemasan ketika musim luruh.Apa yang menarik, nama Yanqi sendiri merujuk kepada burung liar yang singgah pada musim tertentu, menjadikan kawasan ini hidup dengan simbolik alam semula jadi.Bandar Sains Huairou ‘mesin masa depan’ ChinaPengalaman mencuri perhatian wartawan dalam kawasan tasik ini ialah Bandar Sains Huairou iaitu sebuah ekosistem sains dan teknologi yang menjadi antara pusat inovasi paling pesat berkembang di China.Di sini terletaknya rangkaian institusi penyelidikan bertaraf dunia seperti Huairou Lab, Beijing Institute of Mathematical Sciences and Applications (BIMSA), Beijing Institute for New-Type Urbanization (BINN) serta Beijing Institute of Stem Cell and Regenerative Medicine.Huairou Lab yang ditubuhkan pada 2021 memberi fokus kepada pembangunan sistem tenaga rendah karbon bagi mencapai sasaran neutral karbon China.BIMSA pula diasaskan ahli matematik tersohor dunia, Shing-Tung Yau pada tahun 2020 sebagai pusat penyelidikan matematik global yang menghubungkan bidang AI, fizik dan sains data.Beberapa universiti elit seperti Chinese Academy of Sciences, Peking University dan Tsinghua University turut membuka pusat operasi di sini.Pameran teknologi dan penyelidikan pula melibatkan pembangunan robotik ketepatan tinggi, bahan nano dan semikonduktor generasi baharu.Antara teknologi yang diperlihatkan termasuk sistem kejuruteraan mikro yang mampu mengawal getaran pada skala nano untuk pembangunan cip semikonduktor dan peralatan industri berketepatan tinggi.Teknologi ini dibangunkan melalui kolaborasi antara syarikat pemula dan institusi penyelidikan tempatan.Dalam masa sama, syarikat gergasi seperti Aviation Industry Corporation of China (AVIC) dan China Aerospace Science and Technology Corporation (CASC) turut aktif merekrut bakat muda berpendidikan tinggi untuk menyokong industri aeroangkasa dan pertahanan negara China.Antara projek paling berimpak tinggi ialah High Energy Photon Source (HEPS) dan kemudahan sinaran synchrotron generasi baharu dengan pelaburan bernilai kira-kira 4.76 bilion yuan.Menurut sumber rasmi Chinese Academy of Sciences, HEPS mampu mempercepatkan elektron hampir kepada kelajuan cahaya bagi membolehkan kajian struktur bahan pada tahap atom.Teknologi ini penting dalam pembangunan bateri tenaga baharu, semikonduktor dan bahan industri masa depan.Secara keseluruhan, Bandar Sains Huairou menempatkan lebih 26,000 penyelidik termasuk ratusan pakar antarabangsa.Ekosistem ini juga disokong sistem kemudahan menyeluruh melibatkan perkhidmatan imigresen, permit kerja dan pusat khidmat bakat yang beroperasi dengan slogan ‘utamakan orang ramai, tawarkan perkhidmatan yang penuh perhatian’.Pendekatan ini menjadikan kawasan tersebut bukan sahaja pusat penyelidikan tetapi destinasi bakat global yang lengkap dari segi kehidupan dan kerjaya.Mengikut perancangan rasmi, Bandar Sains Huairou akan muncul sebagai hab sains bertaraf dunia menjelang 2035 dengan fokus kepada inovasi teknologi, tenaga hijau dan kecerdasan buatan (AI).Dalam konteks APEC, pembangunan ini dilihat sebagai manifestasi kepada agenda keterbukaan, inovasi dan kerjasama serantau dengan menjadikan Huairou platform masa depan kerjasama ekonomi serta teknologi Asia-Pasifik.Malaysia sendiri pernah menjadi tuan rumah APEC pada 1998 dan 2020 dengan masing-masing dalam konteks ekonomi dan cabaran berbeza terutama ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.Pengalaman di China ini membuka perspektif baharu bahawa APEC bukan hanya tentang dasar ekonomi tetapi lebih jauh ke arah membina ekosistem masa depan negara.
Go to News Site