Sinar Harian
JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menumpaskan kegiatan urus niaga diesel haram menerusi serbuan Ops Tiris 4.0 di sebuah premis perindustrian di Ulu Tiram, pada Khamis lalu.Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan dilakukan hasil risikan Bahagian Penguat Kuasa KPDN Johor ke atas premis yang dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan serta pemborongan minyak diesel tanpa lesen sah."Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai sebarang lesen untuk menjalankan aktiviti tersebut dan dipercayai berselindung di sebalik nama perniagaan sebagai pemborong minyak diesel."Modus operandi sindiket itu dipercayai mendapatkan bekalan daripada syarikat pembekal sebelum dijual semula kepada syarikat pengangkutan tanpa lesen yang sah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Jelas beliau, KPDN Johor menyita kira-kira 10,300 liter minyak diesel bersama sebuah skid tank, satu set pam bahan api lengkap termasuk nozzle dan hos serta beberapa dokumen urus niaga berkaitan."Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM85,736."Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut," katanya lagi.Menurut beliau, premis itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.Katanya, jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun."Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta dan bagi kesalahan kedua serta berikutnya sehingga RM5 juta."KPDN Johor akan terus memperkukuh aktiviti penguatkuasaan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan termasuk bahan api bersubsidi," ujarnya.
Go to News Site