Sinar Harian
KOTA BHARU – Polis menahan dua lagi individu termasuk pasangan warga emas bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang penuntut kolej wanita berusia 19 tahun di Ketereh di sini, sekali gus menjadikan keseluruhan empat suspek ditahan setakat ini.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki berumur antara 19 hingga 66 tahun dan seorang wanita berusia 60 tahun.Tangkapan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini."Tangkapan dibuat dalam serbuan berasingan di dua lokasi iaitu di Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi dan Kampung Belukar Luas, Ketereh."Mereka ditahan antara jam 4.40 petang, Jumaat hingga 2.30 pagi Sabtu," katanya dalam satu kenyataan akhbar kepada pemberita.Dalam operasi tersebut, polis turut merampas dua kereta, dua telefon bimbit, satu set pakaian, sepasang selipar, empat unit pelapik kaki serta sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian."Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau."Hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah," katanya.Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis sebelum itu menerima maklumat pada kira-kira jam 12.35 tengah malam, Jumaat berhubung penemuan mayat seorang wanita di atas jalan di Kampung Padang Simah, Ketereh.Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat."Hasil bedah siasat yang dijalankan pada hari sama mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada," katanya.Susulan tangkapan itu, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Kota Bharu dan tiba pada jam 8.40 pagi, Sabtu bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.Kesemua mereka berpakaian lokap berwarna jingga dan dibawa menggunakan kenderaan Black Maria polis serta dikawal ketat.Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Go to News Site