Collector
'Memang itu tempat Nur Qaseh Deandra selalu bermain' | Collector
'Memang itu tempat Nur Qaseh Deandra selalu bermain'
Sinar Harian

'Memang itu tempat Nur Qaseh Deandra selalu bermain'

KAJANG – "Memang itu tempat dia selalu bermain."Demikian kata ibu kepada Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, 9, yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras di sini pada Jumaat.Ibu mangsa, Nordina Zulkarnain, 34, berkata, kawasan padang dan taman permainan berhampiran pangsapuri berkenaan sememangnya menjadi lokasi kebiasaan kanak-kanak bermain setiap kali waktu lapang dan cuti sekolah."Semalam dia keluar bermain sebab cuti bersama kawan-kawan lain yang tinggal di pangsapuri itu."Selepas kejadian berlaku, abang mangsa yang juga anak kedua saya naik ke rumah dan memaklumkan perkara itu kepada saya serta suami," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini pada Sabtu.Menurut Nordina, suaminya kemudian segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan pihak bomba.Beliau berkata, keluarga kini hanya mampu berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diteruskan hari kedua itu membuahkan hasil.Mengulas penemuan beberapa barangan seperti selipar dan bola di sekitar kawasan pencarian, Nordina mengesahkan ia bukan milik anaknya.Sementara itu, datuk mangsa, Zulkarnain Ahmad, 57, berkata, dia bergegas dari Seremban ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai insiden yang menimpa cucunya."Saya memang rapat dengan dia. Sejak semalam saya tak boleh tidur sebab terlalu risau."Hari ini saya ikut pasukan penyelamat mencari mangsa di sekitar kawasan pencarian," katanya dalam nada sebak.Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil bola yang terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras.Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam di Kondominium Sri Hijau, Bandar Mahkota Cheras itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 malam sebelum operasi SAR digerakkan.

Go to News Site