Sinar Harian
SUBANG JAYA – Persatuan Nadi Kesejahteraan Pemikir (PNKP) hari ini mengecam penganjuran festival Rain Rave: Musical Festival yang tular di platform TikTok dan didakwa mempromosikan budaya hiburan melampau, tidak bermoral serta bercanggah dengan norma masyarakat Malaysia.Timbalan Pengerusi PNKP, Izzat Zabir Sariff yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang berkata, beliau telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Seksyen 17, Subang Jaya susulan kebimbangan terhadap kandungan promosi festival berkenaan yang dilihat terbuka memaparkan elemen budaya hedonisme.Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu di tempat terbuka bukan sahaja mencemarkan nilai ketimuran dan adab masyarakat Malaysia, malah menunjukkan sikap tidak sensitif pihak penganjur terhadap kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.Katanya, isu berkaitan festival hiburan melampau sebelum ini juga pernah mencetuskan kontroversi dan menerima bantahan pelbagai pihak kerana dikhuatiri membuka ruang kepada gejala sosial, penyalahgunaan bahan terlarang serta perlakuan tidak bermoral dalam kalangan anak muda."Saya amat kesal dengan keberanian pihak penganjur membawa masuk budaya hiburan seperti ini secara terbuka seolah-olah Malaysia ini sudah hilang garis panduan moral dan adabnya. Hiburan bukan alasan untuk menormalisasikan budaya liar yang jelas bertentangan dengan nilai masyarakat dan agama," kata Izzat Zabir.Beliau turut menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan serta kementerian berkaitan supaya segera memantau dan meneliti penganjuran festival berkenaan secara menyeluruh.Beliau menegaskan bahawa sebarang bentuk hiburan awam perlu tertakluk kepada undang-undang negara, sensitiviti agama serta norma budaya masyarakat majmuk di Malaysia dan bukannya menjadikan elemen sensasi sebagai medium tarikan komersial."PNKP dalam masa sama menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menganjurkan program hiburan dan tidak menjadikan keuntungan atau populariti media sosial sebagai alasan untuk mengabaikan nilai moral rakyat Malaysia," katanya.Katanya, PKNP turut menegaskan bahawa generasi muda negara memerlukan pembangunan sahsiah dan identiti yang sihat, bukannya dipengaruhi budaya pesta melampau yang boleh memberi kesan negatif terhadap masa depan masyarakat dan institusi sosial negara.
Go to News Site