Sinar Harian
SUBANG JAYA – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai memuat naik dan menyebarkan kandungan berunsur penghinaan terhadap Institusi Diraja Selangor menerusi media sosial disifatkan sebagai satu perbuatan biadab, melampau serta tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negeri yang berdaulat dan bersultan seperti Selangor.Kandungan yang tular sejak beberapa hari lalu, termasuk dakwaan suntingan imej bersifat jelik dan provokatif yang dikaitkan dengan isu penternakan babi di Selangor, telah menerima kecaman pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Diraja Selangor, pimpinan politik, pertubuhan masyarakat serta rakyat negeri ini.Naib Pengerusi Gerakan Belia 4B Kawasan Subang, Adam Shah Mohd Faizal berkata, perbuatan tersebut bukan sekadar menghina peribadi Sultan Selangor, malah merupakan satu penghinaan terbuka terhadap institusi kesultanan yang menjadi payung rakyat, lambang perpaduan negeri serta tonggak kestabilan masyarakat berbilang kaum dan agama di Selangor."Selangor adalah sebuah negeri bersultan dan berdaulat. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor merupakan Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana diperuntukkan dalam undang-undang tubuh negeri. Mana-mana pihak yang dengan sengaja menghina, memperlekeh atau mempersendakan institusi diraja bukan sahaja bersikap biadab, malah sedang mencabar keharmonian, sensitiviti rakyat serta kedaulatan negeri ini," katanya.Beliau turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan lesen untuk menyebarkan kebencian, penghinaan atau provokasi melampau yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama."Perbuatan seperti ini tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh dinormalisasikan. Jika dibiarkan, ia akan membuka ruang kepada budaya kurang ajar terhadap institusi negara, agama dan keharmonian masyarakat," tambah beliau lagi.Menurut beliau, tindakan pantas pihak berkuasa amat diperlukan memandangkan isu berkenaan telah mencetuskan kemarahan rakyat serta menerima perhatian meluas di media dan platform sosial. Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut dilaporkan sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik serta pentadbir akaun yang terlibat.Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di bagi mendesak siasatan menyeluruh serta tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang terbabit.Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dengan budaya provokasi melampau di media sosial serta bersama-sama mempertahankan keharmonian, adab dan penghormatan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi asas kestabilan negara sejak sekian lama.
Go to News Site