Sinar Harian
PETALING JAYA – Cubaan seorang lelaki bersama seorang wanita melarikan diri daripada pemeriksaan polis mengundang padah apabila mereka ditahan di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) pada Jumaat.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.05 malam itu, kereta jenis Proton Preve yang dinaiki suspek dikesan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis berhampiran susur keluar Plaza Tol Subang menghala ke Shah Alam."Suspek lelaki memandu secara berbahaya sebelum memasuki persimpangan Subang Jaya dan merempuh sebuah kereta BMW berwarna hitam di lampu isyarat Persiaran Tujuan, Subang Jaya."Suspek bagaimanapun berjaya ditahan oleh pihak polis, selepas mengejar kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Shamsudin berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui 17 paket lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah seberat kira-kira 16 gram."Suspek lelaki warga tempatan itu mempunyai 21 rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, manakala suspek wanita warga asing tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan."Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine, sementara wanita terbabit negatif dadah," katanya.Menurutnya, kedua-dua suspek telah ditahan dan permohonan reman dibenarkan selama tiga hari sehingga Ahad."Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.Dalam pada itu, Shamsudin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat di media sosial atau membuat spekulasi berhubung kejadian berkenaan."Saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan," ujarnya.
Go to News Site