Collector
RISDA perkasa ekosistem ternakan negara | Collector
RISDA perkasa ekosistem ternakan negara
Sinar Harian

RISDA perkasa ekosistem ternakan negara

SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terus memperkasa ekosistem ternakan menerusi perluasan peranan dalam sektor agromakanan negara.Langkah memperkukuh rantaian bekalan tempatan itu selari aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) sekali gus membuktikan pembangunan pekebun kecil tidak terhad kepada komoditi getah, malah merangkumi peluang ekonomi melalui integrasi ternakan dalam kawasan ladang.Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, usaha agensi memperkukuh industri ternakan negara mengambil kira kepada keperluan semasa bekalan daging tempatan yang terhad.Ujarnya, keadaan itu membuka ruang kepada syarikatnya, RISDA Livestock Sdn Bhd (RLSB) memainkan peranan dalam memperluas kapasiti pengeluaran domestik, mengurangkan kebergantungan import dan menyokong agenda keterjaminan makanan negara."Bagi memperkemas operasi huluan, RLSB menerima tawaran Program Pengganda 30 di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar."Program nasional ini melibatkan 4,000 ekor induk lembu betina bunting dan 400 ekor pejantan dengan nilai sekitar RM64.1 juta."Ladang RISDA Keratong dipilih sebagai lokasi penerimaan kumpulan pertama, melibatkan 500 ekor lembu betina bunting dan 50 ekor pejantan yang dijadual tiba dari Australia pada Ogos tahun ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Menurut Manndzri, pengukuhan operasi huluan itu juga dilengkapi strategi pemasaran melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara RLSB dan DAEM Sdn Bhd."RLSB diwakili Ketua Pegawai Operasi, Erwan Arshad, manakala DAEM diwakili Pengarah Pemasarannya, Muhd Alif Muhd Satar, yang juga selebriti tanah air."Kerjasama ini turut memberi penekanan kepada kesinambungan bekalan dan standard kualiti ternakan."Penghantaran akan dilaksanakan secara berkala bagi memastikan kelangsungan stok, manakala semua ternakan perlu memenuhi spesifikasi kualiti dan gred yang dipersetujui bersama," ujarnya.Kata Manndzri, inisiatif berkenaan mencerminkan kesungguhan RISDA tampil sebagai pemain penting dalam industri ternakan negara, memperkukuh keterjaminan makanan, membuka peluang ekonomi desa dan membina ekosistem bekalan makanan yang lebih berdaya tahan."Dengan kekuatan operasi huluan, sokongan teknikal Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan kerjasama pemasaran DAEM, RLSB berupaya memacu transformasi ternakan tempatan, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan pekebun kecil dan pemerkasaan ekonomi desa."Seiring dengan perkembangan ini, RLSB turut menyatakan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan jualan dan tempahan ternakan kepada semua pihak yang berminat mendapatkan bekalan secara terus daripada syarikat tersebut," kata beliau.

Go to News Site