Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Seorang tokoh akademik melontarkan kritikan terhadap pendekatan dasar pendidikan semasa, dengan menyifatkan ketiadaan kerangka khusus bagi pendidikan bumiputera sebagai kelemahan struktural yang serius dalam sistem pendidikan negara.Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, Malaysia sebenarnya tidak mempunyai dasar pendidikan bumiputera yang jelas, sebaliknya hanya bergantung kepada dasar umum yang bersifat menyeluruh tanpa penekanan khusus kepada keperluan kumpulan tersebut.Menurut beliau, pelbagai inisiatif seperti biasiswa, pembinaan sekolah dan akses ke universiti memang wujud, namun kesemuanya hanya 'tersembunyi' dalam dasar besar pendidikan negara tanpa satu kerangka khusus yang menyusun pembangunan pendidikan bumiputera secara menyeluruh dan strategik."Kita sebenarnya tidak ada Dasar Pendidikan Bumiputera. Kita buat sana sikit, kita bagi biasiswa sikit, kita hantar masuk universiti, kita bina sekolah, tetapi semuanya tersorok dalam dasar-dasar besar," katanya pada Kongres Pendidikan Bumiputera di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur, pada Jumaat.Beliau berkata, keadaan ini menyebabkan usaha yang dilaksanakan kelihatan terpisah-pisah dan tidak membentuk satu trajektori pembangunan yang jelas.Malah, beliau menegaskan bahawa walaupun terdapat pelbagai dasar seperti TVET dan pendidikan nasional, kedudukan bumiputera dalam dasar tersebut tidak dinyatakan secara spesifik."Kita ada dasar TVET tetapi kita tidak jelas bagaimana bumiputera akan masuk TVET. Kita ada dasar pendidikan, tetapi kita tidak bercakap tentang bumiputera dalam dasar pendidikan itu sendiri," tambah beliau.Lebih membimbangkan, beliau mendedahkan bahawa negara masih gagal membangunkan satu sistem data bersepadu berkaitan pendidikan bumiputera.Katanya, data berkaitan memang wujud di pelbagai kementerian seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, namun data tersebut berselerak dan tidak dihimpunkan secara menyeluruh untuk tujuan analisis dasar."Kita ada banyak dasar tetapi kita malu-malu takut-takut nak cakap tentang bumiputera. Minta maaf, bila kami buat Kongres Ekonomi Bumiputera hari itu kami cuba mencungkil data-data bumiputera. Tidak ada satu pun tempat dalam Malaysia ini yang menghimpunkan data-data pendidikan bumiputera. If anyone can challenge me please stand up now," katanya.Beliau turut mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang enggan berkongsi data berkaitan bumiputera atas alasan sensitiviti, sehingga menyukarkan usaha memahami kedudukan sebenar kumpulan tersebut dalam sistem pendidikan.Keadaan ini, menurut beliau, menyebabkan perbincangan dasar menjadi kabur kerana tiada gambaran empirikal yang lengkap."Ada kementerian bila kita minta data, mereka kata ‘tak boleh, itu racist’. Kita jaga perumahan, tetapi kita tidak jaga tentang perumahan bumiputera. Kita jaga pendidikan, tetapi kita tidak jaga tentang pendidikan bumiputera," katanya lagi.Dalam masa yang sama, Noor Azlan menekankan bahawa isu pendidikan bumiputera perlu dilihat secara menyeluruh merentasi keseluruhan rantaian pendidikan, bermula dari prasekolah hingga ke pasaran kerja.Namun, beliau berpandangan bahawa pendekatan semasa terlalu tertumpu kepada hasil akhir, khususnya di peringkat universiti, tanpa memberi perhatian mencukupi kepada peringkat awal yang lebih kritikal.Sebagai contoh, beliau mendedahkan bahawa kira-kira 22 peratus kanak-kanak bumiputera mengalami masalah bantut, manakala kadar penyertaan kanak-kanak bumiputera dalam pendidikan prasekolah hanya sekitar 47 peratus.Menurut beliau, keadaan ini amat membimbangkan memandangkan usia lima hingga enam tahun merupakan fasa 'golden age' yang menentukan perkembangan kognitif dan masa depan pembelajaran kanak-kanak."Kalau kita tidak lakukan dengan betul pada umur lima hingga enam tahun, lupakan masa depan. Itu adalah 'golden age'," katanya.Dalam konteks pendidikan sekolah, beliau turut menegaskan bahawa prestasi pelajar amat berkait rapat dengan latar belakang sosioekonomi."Oleh kerana sebahagian besar masyarakat bumiputera masih berdepan cabaran kemiskinan, kekurangan kemudahan asas dan pembangunan yang tidak seimbang, pencapaian akademik mereka turut terkesan secara langsung."Data-data bumiputera dalam fasa sekolah lagilah tak jumpa, minta maaf, Datuk Ketua Pendidikan, saya tahu data ada tapi kalau boleh kongsilah kepada kita data ini. Tapi apa yang saya dapat lihat ialah prestasi Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) yang selalu kita dengar dia amat berkait dengan latar belakang sosial. Kita mengatakan tadi bahawa latar belakang sosial bumiputera ketinggalan jauh, oleh itu kita dapati bahawa pencapaian kalau dikekang dengan masalah ini maka pencapaian tidak akan baik," jelas beliau.Beliau turut menyentuh isu penurunan minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), yang disifatkan sebagai trend membimbangkan di peringkat nasional.Walaupun data khusus bumiputera tidak tersedia, beliau berpandangan bahawa penurunan dalam kalangan bumiputera berkemungkinan lebih tinggi berbanding purata nasional."Kita tahu STEM makin jatuh, tetapi kita tidak tahu berapa banyak jatuh dalam kalangan bumiputera. Kalau kita tahu pun, mungkin tidak mahu diceritakan," katanya.Di peringkat pendidikan tinggi pula, Noor Azlan mempersoalkan naratif kejayaan berkaitan kebolehpasaran graduan.Walaupun laporan rasmi sering menunjukkan angka yang memberangsangkan, beliau menegaskan bahawa analisis lebih mendalam mendapati sebahagian besar graduan yang gagal mendapatkan pekerjaan datang daripada latar belakang sosioekonomi yang lemah, yang kebanyakannya melibatkan bumiputera.Beliau turut menarik perhatian kepada isu pengangguran siswazah, dengan menyatakan bahawa daripada kira-kira enam juta tenaga kerja berkelulusan tinggi di Malaysia, sekitar 60 peratus adalah bumiputera.Namun, persoalan utama yang timbul ialah mengapa graduan bumiputera yang menerima pendidikan yang sama tidak memperoleh peluang pekerjaan yang setara.Menurut beliau, isu ini mungkin berpunca daripada ketidakseimbangan antara penawaran kemahiran dan permintaan pasaran, namun ia memerlukan penelitian lebih mendalam."Kenapa dapat pendidikan yang sama tetapi tidak dapat pekerjaan yang sama? Saya tidak pasti sama ada isu ini berpunca daripada supply atau demand, tetapi ini persoalan besar," katanya.Dalam aspek pekerjaan dan pendapatan, beliau turut menyatakan bahawa bumiputera masih berdepan cabaran besar dalam menembusi sektor profesional serta memperoleh gaji yang kompetitif.Keadaan ini katanya, menunjukkan bahawa masalah pendidikan bumiputera tidak terhenti di peringkat sekolah atau universiti, tetapi berlanjutan hingga ke pasaran kerja.Mengulas mengenai tadbir urus dasar, Noor Azlan menyifatkan pendekatan semasa sebagai bersifat ad hoc dan tidak konsisten.Beliau merujuk kepada kewujudan pelbagai platform seperti Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB), Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Pelaksana, serta pelbagai cadangan dasar daripada kumpulan pakar.Namun, menurut beliau, kewujudan terlalu banyak inisiatif tanpa penyelarasan yang jelas hanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelaksana dan masyarakat.Beliau turut mendedahkan bahawa walaupun pelbagai cadangan telah dikemukakan, termasuk puluhan cadangan daripada kluster pakar dan ratusan inisiatif daripada agensi berkaitan, sehingga kini masih tiada satu dasar pendidikan bumiputera yang jelas dan boleh dirujuk secara rasmi.Malah, beliau mencabar mana-mana pihak untuk mengemukakan dasar tersebut sekiranya ia benar-benar wujud."Kita ada 11 Ketua Kluster KEB, seorang daripadanya saya, kami mencadangkan 80 cadangan, bulan Mac, bulan Ogos datang 132 ikhtiar daripada TERAJU. Masyarakat menjadi keliru, di sana di sini pelbagai bentuk rancangan dan tindakan yang dibuat."Kita wujudkan Unit Pemerkasaan Bumiputera sudah kali yang ke-3 di semua kementerian, Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) bertanggungjawab untuk menerangkan apakah rancangan dalam portfolio masing-masing. Malangnya tidak ada satu kementerian pun yang ada dasar ini. Kalau ada menteri yang berani bangun cakap ada dasar, tunjuk kepada saya dasar itu," katanya.Selain itu, beliau menegaskan bahawa sistem semasa juga gagal menetapkan sasaran yang jelas bagi pembangunan pendidikan bumiputera.Tanpa sasaran yang konkrit, katanya, usaha pelaksanaan menjadi tidak terarah manakala pemantauan dan pelaporan pula tidak dapat dilakukan secara sistematik.Menurut beliau, ketiadaan laporan berkala yang komprehensif berkaitan pendidikan bumiputera menyebabkan kemajuan sukar diukur secara objektif."Saya tidak pernah jumpa sasaran pendidikan bumiputera. Tanpa sasaran, kita tidak ada arah. Tanpa arah, pelaksanaan dan pemantauan tidak akan berlaku," jelas beliau.Sehubungan itu, Noor Azlan menekankan keperluan mendesak untuk membangunkan satu kerangka dasar yang lebih tersusun, lengkap dengan sasaran, mekanisme pelaksanaan, sistem pemantauan dan pelaporan yang berterusan.Beliau turut mencadangkan penubuhan sekretariat tetap bagi menyelaras usaha pembangunan bumiputera, agar perbincangan dan tindakan tidak hanya berlaku secara berkala tanpa kesinambungan."Suara pembangunan bumiputera mesti berterusan. Ia tidak boleh sebulan sekali atau dua bulan sekali," katanya.Mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan bahawa keseluruhan trajektori pendidikan bumiputera kini menunjukkan tanda-tanda kelemahan yang memerlukan tindakan segera dan bersepadu.Tanpa pembaharuan dasar yang jelas, komitmen pelaksanaan yang konsisten dan penyelarasan antara agensi, usaha memperkukuh pendidikan bumiputera akan terus berdepan cabaran yang sama tanpa perubahan yang signifikan."Kita perlu melakukan sesuatu mengenai perkara ini. Kita perlukan dasar yang jelas dan tindakan yang jelas," katanya.
Go to News Site