Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Golongan wanita muda dalam kalangan M40 berdepan tekanan kos sara hidup serta bebanan harian di samping cuba mengimbangi tanggungjawab antara kerjaya dan keluarga.Justeru, Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, sudah tiba masanya kerajaan membina satu ekosistem yang benar-benar memanfaatkan dan membolehkan golongan tersebut terus berkembang tanpa batasan.Atas dasar itu, beliau menyarankan beberapa perkara antara lain memperluaskan akses peluang menjana pendapatan agar ekonomi lebih inklusif dan menyeluruh.Selain itu, kata Nurul Amal, memperkasa kemudahan penjagaan anak dengan yuran nurseri yang berpatutan, selamat dan mudah diakses di tempat kerja."Kerajaan disaran menaikkan pelepasan cukai bagi setiap anak dari RM2,000 kepada RM3,000. "Begitu juga program BUDI Madani diperluaskan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang turut terkesan," katanya.Nurul Amal berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.Konvensyen itu diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 bermula 1 hingga 5 Mei ini.Nurul Amal berpendapat, langkah-langkah tersebut penting agar wanita muda tidak terus terhimpit antara tuntutan kerjaya dan tanggungjawab keluarga. "Mereka sering dilihat seperti pohon yang teguh berdiri di tengah kota, tegaknya kelihatan tenang, rimbunnya seolah tidak terusik seakan tidak pernah merekah walau diasak angin. "Namun di sebalik rimbunan itu, akarnya diam-diam berjuang mencengkam tanah yang semakin keras menahan kemarau tuntutan hidup."Semoga ulang tahun parti keramat yang ke-80 ini, kita tidak hanya meraikan sejarah semata-mata, tetapi juga membawa solusi kepada masalah dan isu yang dekat di hatirakyat sekarang, sesuai dengan tradisi kita iaitu tradisi membela rakyat," ujarnya.
Go to News Site