Sinar Harian
KOTA BHARU – Penganjuran pesta hiburan berkonsepkan ‘basah’ yang didakwa melibatkan percampuran bebas disifatkan sebagai tidak mencerminkan nilai dan budaya masyarakat negara ini, malah berpotensi merangsang nafsu serta tingkah laku di luar kawalan.Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, penganjuran seumpama itu bukan sahaja bertentangan dengan norma tempatan malah dilihat mengangkat budaya hedonisme melampau yang tidak selari dengan pegangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.Menurut beliau, pesta hiburan terbuka yang melibatkan pergaulan bebas dalam keadaan basah secara jelas boleh mencetuskan rangsangan syahwat serta mengundang perlakuan yang melanggar batas adab dan kesusilaan."Program hiburan bukanlah sesuatu yang salah, namun apabila ia disertai elemen percampuran bebas tanpa kawalan serta aksi keterlaluan, ia melangkaui garis nilai yang dipegang masyarakat kita."Perkara yang lebih dikesalkan apabila penganjuran seumpama ini dikaitkan dengan usaha promosi pelancongan, sedangkan pendekatan tersebut jelas tidak sensitif terhadap latar budaya dan keharmonian negara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave diadakan dari 30 April hingga 2 Mei di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.Mohd Asri turut menegaskan bahawa prinsip dalam Rukun Negara yang menekankan kesopanan dan kesusilaan seharusnya menjadi panduan utama dalam setiap penganjuran program, khususnya melibatkan pihak kerajaan."Kerajaan mempunyai tanggungjawab memastikan sebarang bentuk hiburan yang dianjurkan tidak menyimpang daripada nilai moral serta tidak mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat," ujarnya.Dalam pada itu, Mohd Asri berkata, Kerajaan Negeri Kelantan mengambil langkah proaktif dengan menggubal Rang Undang-Undang Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2025 bagi mengekang penganjuran hiburan melampau."Undang-undang tersebut bertujuan menjadi garis panduan kepada semua pihak agar penganjuran hiburan lebih terkawal serta tidak melanggar," katanya.
Go to News Site