Sinar Harian
KUALA LUMPUR – UMNO disyor mewujudkan gagasan Rumah Generasi Baharu sebagai komponen penting dalam memperkukuh konsep Rumah Bangsa bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti dan menarik sokongan generasi muda.Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Rumah Generasi Baharu merupakan salah satu cabang di bawah Rumah Bangsa yang berfungsi sebagai platform membina, membimbing dan memperkasa golongan muda sebagai pewaris kepimpinan masa depan.Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan legasi perjuangan UMNO terus diwarisi generasi baharu yang bakal memimpin parti dan negara pada masa akan datang."Pastinya 10 tahun dari sekarang kita tidak lagi berada di pentas ini. Pastinya akan muncul pemimpin baharu yang membawa naratif baharu untuk memastikan kesinambungan legasi ini dapat diwariskan."Jadi untuk Rumah Bangsa ini, salah satu cabangnya ialah Rumah Generasi Baharu sebagai ruang untuk generasi akan datang bernaung," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.Hadir sama, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.Mengulas lanjut, Ab Rauf mengibaratkan UMNO sebagai sebuah pohon rendang yang perlu terus dipelihara kerana menjadi tempat rakyat berteduh serta simbol kekuatan perjuangan orang Melayu sejak penubuhannya pada 1946.Katanya, pohon yang rendang bukan sahaja memberi teduhan ketika musim panas, malah menghasilkan manfaat kepada ramai dan perlu dijaga agar terus subur untuk generasi seterusnya."Kalau mahu berteduh, berteduhlah di pohon yang rendang. Pohon rendang ini boleh memberi teduhan, menghasilkan buah-buah yang boleh dinikmati dan dikongsi bersama."Pohon yang rendang ini mesti kita jaga supaya nanti generasi akan datang, apabila mereka membawa obor perjuangan, rakyat masih dapat berteduh di bawahnya," ujarnya.Ab Rauf menegaskan, UMNO telah melalui perjalanan panjang merentasi lapan generasi perjuangan.Katanya, parti itu kini menghampiri usia 100 tahun dan diharapkan mampu terus bertahan sehingga melahirkan 10 generasi pewaris yang akan membawa legasi perjuangan bangsa ke hadapan.
Go to News Site