Sinar Harian
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan sebanyak 22 individu berhubung siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion di antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semi konduktor.Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli akan dipanggil untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi Isnin untuk membantu siasatan."Sehingga kini, sebanyak 22 keterangan telah diambil termasuklah dalam kalangan Menteri dan juga pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Februari lalu."Minggu lalu kita telah merakam keterangan daripada James Chai selama tiga hari bermula Selasa," katanya.Tambah beliau, kes melibatkan Rafizi disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.Pada 1 April lalu, SPRM dalam kenyataan berkata, James Chai telah dikenal pasti sebagai individu yang diperlukan untuk membantu siasatan.Menurut SPRM, pada 4 Mac 2026 agensi berkenaan telah mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi mengesan James Chai sebelum menerima surat daripada Tetuan individu terbabit bertarikh 9 Mac 2026 yang memaklumkan bahawa James Chai tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan dengan alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.SPRM kemudiannya telah mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac 2026 memberi lanjutan masa untuk James Chai hadir pada 31 Mac 2026, namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan keinginan untuk hadir.Berikutan itu, SPRM telah mengeluarkan surat pada 1 April yang menetapkan bahawa James Chai perlu hadir dalam tempoh dua minggu.Pada 12 Februari, SPRM menerima laporan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan sebuah kementerian.Sinar Harian sebelum ini melaporkan SPRM telah merekod keterangan 17 saksi melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Go to News Site