Collector
MOTAC perluas usaha martabat warisan seni, budaya Melayu | Collector
MOTAC perluas usaha martabat warisan seni, budaya Melayu
Sinar Harian

MOTAC perluas usaha martabat warisan seni, budaya Melayu

SHAH ALAM – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperluaskan usaha dalam memartabatkan warisan budaya Melayu melalui pelbagai inisiatif strategik termasuk kerjasama bersama pihak swasta dalam penganjuran program berteraskan seni dan budaya.Ketua Setiausahanya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, pelaksanaan pelbagai program itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh identiti budaya bangsa serta memperluas apresiasi masyarakat terhadap seni warisan Melayu.Beliau berkata, MOTAC menyambut baik inisiatif yang digerakkan oleh Pusaka Nusantara Sdn Bhd (PNSB) kerana ia selari dengan agenda kementerian dalam memperkasa budaya tempatan bukan sahaja di peringkat domestik, malah antarabangsa."Tahniah dan syabas atas penganjuran yang memberi impak kepada pemerkasaan warisan negara," katanya ketika Majlis Perasmian Hari Kebangkitan Warisan Pusaka Nusantara di Sunsuria Forum Mall Setia Alam di sini pada Jumaat.Menurut beliau, MOTAC turut melaksanakan pelbagai program seperti Minggu Budaya, Citra Malaysia (Colours of Malaysia), Temasya Tari Melayu: Lama Dalam Baharu, Program Menu Masakan Warisan Malaysia serta Santuni Madani bagi memperkenalkan kepelbagaian seni dan budaya negara.Tambahnya, semua inisiatif itu bertujuan memelihara serta memartabatkan warisan budaya termasuk seni tradisional Melayu agar terus kekal relevan dan dihargai generasi akan datang."Majlis kebudayaan dan kesenian ini bukan sekadar perayaan warisan, tetapi penghormatan kepada usaha semua pihak dalam menjunjung tinggi khazanah budaya negara," tambah beliau.Sementara itu, Pengarah Urusan PNSB, Saidah Che Aman berkata, pihaknya akan terus memperkasa pemeliharaan warisan seni budaya Melayu melalui pendekatan menyeluruh menggabungkan pemuliharaan budaya, pemerkasaan komuniti serta kelestarian alam sekitar.Menurut beliau, PNSB merupakan sebuah perusahaan sosial berdaftar yang beroperasi dengan semangat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memelihara serta melestarikan warisan seni budaya Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun.Mengulas lanjut, Program Kebangkitan Warisan menjadi antara inisiatif utama syarikat itu dalam mengangkat tanggungjawab memelihara khazanah seni dan budaya bangsa agar terus kekal relevan dalam arus pembangunan semasa."PNSB bukan sahaja ditubuhkan untuk menghidupkan semula warisan seni dan budaya, malah turut memperjuangkan kelestarian alam sekitar melalui pemerkasaan komuniti serta amalan perniagaan yang mampan," jelas beliau.Saidah berkata, selaras dengan misi syarikat, PNSB turut memberi fokus kepada pembangunan komuniti seni dan warisan nusantara melalui akses pendidikan, latihan serta sokongan keusahawanan bagi menjana pendapatan mampan.Katanya, usaha itu turut merangkumi pemerkasaan penggiat seni seperti penari, pemuzik, penulis, pembuat batik, penenun songket, pereka fesyen dan usahawan kraftangan melalui latihan profesional serta akses pasaran yang lebih luas."Antara pendekatan kami adalah melalui penganjuran bengkel, pameran, festival, persembahan dan program pendidikan bagi memupuk apresiasi terhadap kepelbagaian budaya Malaysia dan Nusantara," katanya.Jelas beliau, PNSB turut menjalankan aktiviti perniagaan berasaskan budaya termasuk penjualan produk seni, batik dan songket yang diberi nafas baharu, selain perkhidmatan pelancongan budaya dengan konsep lestari."Kesemua lebihan keuntungan akan dilaburkan semula bagi mencapai objektif sosial dan budaya syarikat," katanya.Dalam pada itu, beliau menegaskan pemeliharaan seni dan budaya adalah tanggungjawab bersama merangkumi kerjasama strategik antara komuniti tempatan, agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor korporat serta organisasi antarabangsa."PNSB terus memberi tumpuan terhadap kelestarian alam sekitar dengan menggalakkan amalan mesra alam, pengurangan pencemaran serta pembangunan produk hijau yang menyokong ekonomi mampan tanpa menjejaskan sumber semula jadi," tambah beliau.

Go to News Site