Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Dakwaan perjanjian melibatkan Lynas Malaysia Sdn Bhd yang dikatakan membekalkan oksida nadir bumi kepada Jabatan Perang Amerika Syarikat (AS) wajar dibincangkan di Parlimen kerana melibatkan aset strategik negara.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh ahli Parlimen bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara."Setuju dibincangkan di Parlimen sebab melibatkan aset strategik negara. Perkara ini boleh dibahaskan dan terserah kepada ahli-ahli Parlimen," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Sebelum ini, sebanyak 57 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili pelbagai kumpulan masyarakat Malaysia menyuarakan bantahan terhadap perjanjian berkenaan yang didakwa membekalkan oksida nadir bumi kepada Jabatan Perang AS.Menurut mereka, dasar luar Malaysia yang berteraskan prinsip berkecuali (non-alignment) berpotensi terjejas sekiranya negara terlibat dalam rantaian bekalan ketenteraan bagi negara yang sedang melaksanakan operasi ketenteraan di pelbagai wilayah.Dalam perkembangan sama, Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang merupakan antara NGO terlibat menggesa kerajaan mengenakan syarat lebih ketat, melaksanakan langkah pembetulan atau mempertimbangkan penggantungan serta pembatalan lesen Lynas.Langkah itu, menurut mereka, penting bagi mengelakkan sebarang bentuk sokongan yang boleh dianggap bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.Mengulas lanjut, Mohd Nurkhuzaini berkata, sumber mineral nadir bumi (REE) di Terengganu merupakan antara kapasiti terbesar negara yang perlu dibangunkan secara bertanggungjawab.Beliau menegaskan, potensi tersebut seharusnya dimanfaatkan demi keamanan sejagat, bukan untuk menyokong industri yang boleh membawa kepada kemusnahan."Pendekatan pembangunan REE perlu selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai daripada aktiviti huluan, pemprosesan hingga ke aplikasi hiliran."Ia bagi memastikan setiap fasa pembangunan mematuhi standard antarabangsa dari segi kelestarian alam sekitar, kesejahteraan sosial dan tadbir urus berintegriti," katanya.Tambah beliau, Terengganu mempunyai kelebihan strategik dengan kewujudan elemen nadir bumi berat (HREE) yang bernilai tinggi seperti terbium (Tb) dan dysprosium (Dy).Jelasnya, elemen tersebut memiliki sifat magnetik serta kestabilan suhu tinggi yang penting dalam pembangunan teknologi bahan termaju."Dalam konteks global, HREE digunakan dalam sistem pertahanan seperti radar, peluru berpandu tepat dan komponen elektronik berketahanan tinggi."Namun, potensi ini tidak boleh dieksploitasi untuk tujuan yang menyumbang kepada konflik atau bertentangan dengan prinsip ESG," ujarnya.Sehubungan itu, beliau berpandangan sumber REE negara perlu disalurkan kepada industri yang menyokong pembangunan mampan seperti tenaga boleh baharu, kenderaan elektrik, teknologi perubatan serta sistem komunikasi dan digital yang memperkukuh keamanan global.
Go to News Site