Sinar Harian
GEORGE TOWN – Di dunia yang kononnya semakin terbuka, satu soalan ringkas di media sosial masih mampu mencetuskan polemik panjang tentang identiti dan kaum.Persoalan itu timbul susulan penampilan Shameera Nasreen Ahamed Noordeen yang bertudung ketika berucap di pentas antarabangsa, sekali gus menyebabkan beliau disalah anggap sebagai Melayu walaupun mewakili komuniti belia India.Bagi wanita berusia 27 tahun itu, tanggapan tersebut bukan sekadar kekeliruan, tetapi mencerminkan bagaimana sebahagian masyarakat masih melihat identiti melalui lensa sempit, seolah-olah agama dan kaum mesti berada dalam kotak yang berasingan.Hakikatnya, beliau seorang India Muslim, satu identiti yang jarang difahami, tetapi semakin penting dalam naratif Malaysia moden.Beberapa hari sebelum itu, anak muda dari Pulau Pinang ini berdiri di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, menyampaikan pandangan dalam Forum Belia ECOSOC 2026 yang berlangsung dari 14 hingga 16 April lalu.Forum tersebut menghimpunkan lebih 1,000 pemimpin muda dari seluruh dunia, menjadikannya antara platform belia paling berprestij di bawah PBB.Di hadapan rakan sejawat global, diplomat dan pembuat dasar, Shameera membawa perspektif Malaysia sebagai negara majmuk iaitu bagaimana kepelbagaian bukan sekadar realiti, tetapi kekuatan yang boleh digerakkan untuk pembangunan inklusif.Namun sebaik rakaman ucapannya tular, fokus sebahagian warganet bukan pada mesej, tetapi pada penampilan luaran."Saya seorang yang sangat positif. Tak ramai sangat yang menyokong saya, tapi itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus membawa Malaysia ke pentas dunia," katanya kepada Sinar Ahad.Beliau tidak melawan dengan kemarahan. Sebaliknya, Shameera memilih untuk menjawab dengan tenang bahawa Islam adalah agama, bukan bangsa."Fokus seharusnya diberikan kepada mesej yang saya sampaikan di PBB, bukannya kritikan peribadi," ujarnya.Sebagai seorang Muslim Tamil, beliau melihat identiti itu sebagai kekuatan, bukan kekangan."Umat Islam datang daripada pelbagai latar belakang, India, Cina dan lain-lain. Saya percaya saya berada dalam kedudukan yang baik untuk mewakili komuniti India," jelasnya.Di sebalik polemik itu, perjalanan ke pentas dunia bukanlah kisah semalaman. Selama dua tahun, beliau membina langkah satu persatu daripada menyertai webinar, forum hingga pelbagai platform antarabangsa.Penglibatan aktif dalam Majlis Belia India Malaysia (MIYC) sejak 2020 membantu beliau memahami ekosistem belia dan memperkukuh kredibiliti sebelum melalui beberapa tapisan ketat untuk terpilih ke forum tersebut."Saya bermula dengan mendalami sistem PBB, selain aktif menyertai pelbagai platform belia. Pada masa sama, saya memperkukuh profil dengan sentiasa mencari peluang untuk menyumbang dan berkembang," katanya.Menurutnya, setiap usaha kecil itu akhirnya membuka ruang lebih besar."Ia bukan sesuatu yang mudah. Ini hasil usaha berterusan," ujarnya.Lebih penting, penyertaannya bukan sekadar kehadiran simbolik. Forum Belia ECOSOC merupakan platform rasmi PBB yang menghimpunkan suara belia untuk terlibat secara langsung dalam perbincangan dasar global berkaitan pembangunan mampan.Pandangan yang dibawa bukan hanya didengar, malah berpotensi mempengaruhi hala tuju perbincangan antarabangsa."Perbincangan bukan sahaja tertumpu kepada SDG, tetapi bagaimana kita memperkukuh kerjasama rentas sektor dan memastikan belia diiktiraf sebagai pihak berkepentingan aktif dalam membuat keputusan," katanya yang juga merupakan Ketua Cawangan MIYC Bukit Mertajam itu.Di tengah kecaman yang diterima, sokongan yang datang juga tidak kurang bermakna.Walaupun tidak ramai, mesej positif yang diterima menjadi dorongan untuk terus melangkah."Saya hargai setiap sokongan yang ada. Ia mungkin kecil, tetapi sangat bermakna," katanya.Kisah Shameera akhirnya bukan sekadar tentang seorang wanita muda yang dikecam di media sosial.Ia adalah cerminan sebuah masyarakat yang masih belajar memahami dirinya sendiri, tentang sempadan antara kaum dan agama, tentang siapa yang berhak bersuara, dan bagaimana kita menilai seseorang."Sudah tiba masanya untuk kita melangkaui sekadar toleransi dan mula meraikan kepelbagaian bersama-sama," katanya.PROFILNama: Shameera Nasreen Ahamed NoordeenUmur: 27 tahunAsal: Pulau PinangPendidikan: Sarjana Sains Marin, Universiti Sains MalaysiaKerjaya: Pegawai Seranta, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang
Go to News Site