Collector
Putrajaya 2040 diuji di Shenzhen | Collector
Putrajaya 2040 diuji di Shenzhen
Sinar Harian

Putrajaya 2040 diuji di Shenzhen

BEIJING - Wawasan Putrajaya 2040 yang diterima pakai di bawah kepengerusian Malaysia pada November 2020 kini menjadi tumpuan melalui semakan pelaksanaan fasa lima tahun pertama melalui Pelan Tindakan Aotearoa yang sedang berjalan.Wawasan Putrajaya 2040 ialah pelan hala tuju jangka panjang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang dilancarkan semasa Malaysia menjadi tuan rumah forum itu pada tahun 2020 di Putrajaya.Menurut Pengarah Pusat Kajian APEC Universiti Nankai, Profesor Liu Chenyang yang terlibat dalam proses penggubalan wawasan itu, pelaksanaan dalam tempoh lima tahun pertama disifatkan sebagai memuaskan, namun fasa seterusnya akan menentukan sama ada ia benar-benar berkesan."Setiap APEC terutama selepas tahun 2020 telah menyelaraskan agenda mereka dengan Wawasan Putrajaya 2040, dan ini menunjukkan tahap kesepaduan yang tinggi."Tetapi ia tidak boleh sekadar menjadi deklarasi di atas kertas. Sebaliknya mesti disokong dengan pencapaian nyata," katanya dalam sidang akhbar di Kelab Antarabangsa Beijing di sini.Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan lebih konkrit perlu dilaksanakan melalui agenda Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP) walaupun hanya mencapai kemajuan yang kecil tetapi ia mestilah jelas dalam sektor tertentu.Sementara itu, APEC 2026 dilihat sebagai ujian penting ketika dunia berdepan tekanan perlindungan perdagangan, kelembapan pertumbuhan global dan ketegangan geopolitik.Lebih 300 mesyuarat dan acara dirancang termasuk 11 mesyuarat peringkat menteri meliputi perdagangan, kewangan, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) serta perusahaan kecil dan sederhana.Menurut Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan APEC 2026, Chen Xu, tema Membina Komuniti Asia-Pasifik untuk Kemakmuran Bersama dipilih sebagai respons terhadap keadaan ekonomi dan geopolitik semasa."China akan memberi tumpuan kepada peningkatan kesalinghubungan serantau termasuk infrastruktur, rangkaian digital, rantaian bekalan dan hubungan antara masyarakat selain membuka ruang kepada bidang baharu seperti data serta AI," katanya.Xu turut memberi isyarat bahawa sidang kemuncak itu berpotensi menjadi ruang untuk menstabilkan hubungan China–Amerika Syarikat terutama dalam isu perdagangan."Kami juga berharap hubungan perdagangan yang lebih boleh diramal dan saling menguntungkan dapat dicapai berdasarkan prinsip saling menghormati dan kerjasama menang-menang," ujarnya.Sementara itu dari sudut ekonomi, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 3.1 peratus bagi tahun ini berbanding 3.4 peratus sebelumnya, manakala pertumbuhan Asia dijangka merosot daripada lima peratus pada 2025 kepada 4.4 peratus tahun ini.Situasi tersebut meningkatkan tekanan kepada semua ekonomi anggota untuk memastikan Wawasan Putrajaya 2040 tidak kekal sebagai aspirasi sebaliknya diterjemahkan kepada hasil sebenar dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan serantau.Menurut Naib Pengerusi Jawatankuasa Akademik Akademi Perdagangan Antarabangsa dan Kerjasama Ekonomi China, Zhang Jianping, APEC 2026 dijangka menghasilkan lebih banyak kesepakatan dalam integrasi ekonomi serantau serta pembangunan ekonomi digital."Kerjasama ini penting untuk menangani tekanan penyahgandingan, gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik," katanya.Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kerjasama Antarabangsa dan Majlis China bagi Promosi Perdagangan Antarabangsa (CCPIT), Wu Meng berkata, Shenzhen sebagai pusat inovasi teknologi China menempatkan syarikat seperti Huawei, Tencent dan BYD serta lebih 25,000 syarikat teknologi tinggi."Perubahan lokasi APEC dari Shanghai (2001), Beijing (2014) ke Shenzhen (2026) mencerminkan evolusi China daripada mengintegrasi ke dunia kepada memimpin inovasi," katanya.Sehubungan itu sempena APEC 2026, wartawan Sinar Harian antara 16 media dari negara anggota yang dibawa ke Beijing, Zhuhai, Shenzhen dan Guangzhou selama 14 hari sebagai persiapan menjelang sidang kemuncak nanti.INFOWAWASAN PUTRAJAYA 2040Dilancar: November 2020 (APEC dipengerusikan Malaysia secara maya)Matlamat:Membentuk Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040Tumpuan utama:Perdagangan dan pelaburan bebas, adil serta telusInovasi dan ekonomi digital termasuk AIPertumbuhan inklusif, mampan dan seimbangPelaksanaan:Diterjemah melalui Pelan Tindakan Aotearoa dan kini dalam fasa semakan lima tahun pertama (2020–2025)Relevan APEC 2026:Menjadi rangka utama penilaian kemajuan kerjasama ekonomi Asia-Pasifik

Go to News Site