Sinar Harian
SHAH ALAM - Sosialis Muda DAP (DAPSY) melihat langkah kerajaan menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial sebagai satu usaha penting dalam melindungi golongan kanak-kanak daripada ancaman eksploitasi seksual dalam talian.Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Syaheera Ghafar berkata, langkah melalui Kementerian Komunikasi itu adalah wajar bagi memastikan tahap kematangan emosi dan kesiapsiagaan anak muda sebelum berinteraksi dalam ekosistem digital yang semakin kompleks.Syaheera menyifatkan, laporan penahanan 69 individu serta rampasan lebih 200,000 bahan digital berkaitan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) oleh pihak polis bulan lalu sebagai satu perkembangan yang amat membimbangkan."Angka ini bukan sekadar statistik jenayah, tetapi cerminan kepada tahap kritikal keruntuhan moral sebahagian masyarakat serta petunjuk jelas bahawa negara berdepan ancaman serius yang menuntut tindakan menyeluruh."Kewujudan bahan sebegini memperlihatkan kanak-kanak semakin terdedah kepada risiko eksploitasi dan manipulasi oleh penjenayah seksual dalam talian," ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.Syaheera turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperhebat operasi pemantauan berkala terhadap laman web, kumpulan tertutup serta saluran komuniti berpotensi menjadi medium penyebaran CSAM.Menurutnya, penguatan risikan siber dan tindakan penyahaktifan kandungan perlu dilakukan dengan lebih tegas serta profesional bagi menutup kelompongan sedia ada."Pihak berkuasa perlu memperkukuh siasatan terhadap rangkaian yang terlibat agar tindakan pencegahan dapat dilakukan lebih awal sebelum lebih ramai mangsa terdedah," tegasnya.Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan pendekatan 'whole-of-society' yang melibatkan kerjasama antara agensi penguatkuasa, institusi pendidikan, ibu bapa, dan pemimpin komuniti.Ujarnya, literasi keselamatan digital dan kesedaran mengenai modus operandi penjenayah seksual mesti disampaikan secara konsisten kepada semua peringkat, khususnya ibu bapa sebagai benteng perlindungan utama."Negara memerlukan usaha pembasmian dari akar umbi yang tegas bagi mengekang ketagihan tidak berperikemanusiaan terhadap bahan CSAM."Perlindungan terhadap anak-anak tidak boleh bersifat reaktif atau bermusim. Kita mesti bertindak sekarang bagi memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan bermaruah untuk generasi masa hadapan," ujarnya lagi.
Go to News Site