Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Seorang wanita ditahan selepas dipercayai memiliki senjata berbahaya ketika menghadiri malam penutup Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, di sini pada Sabtu.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, wanita berusia tempatan berusia 28 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas pemeriksaan mendapati suspek membawa sebilah pisau."Suspek kini dalam proses permohonan reman dan motif suspek memiliki senjata berkenaan masih dalam siasatan."Tangkapan dibuat bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin dan kita tidak berkompromi dengan sebarang elemen yang boleh mengancam ketenteraman awam," katanya pada Sabtu.Dalam perkembangan sama, beliau berkata, dianggarkan 30,000 pengunjung membanjiri malam penutup festival berkenaan yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 April lalu.Secara keseluruhan, penganjuran festival ini berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini."Beberapa individu mencurigakan turut ditahan sebagai langkah pencegahan sepanjang program berkenaan," katanya.Menurutnya, seramai 500 pegawai dan anggota polis digerakkan setiap malam bagi memastikan tahap keselamatan berada pada tahap optimum."Kekuatan ini melibatkan Kontinjen Kuala Lumpur, enam daerah di bawahnya serta bantuan daripada Bukit Aman," katanya.Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama yang diberikan sepanjang festival tersebut."Kerjasama semua pihak membantu memastikan kelancaran program serta keselamatan pengunjung sentiasa terpelihara," katanya.Fadil berkata, beliau turut hadir setiap hari sepanjang penganjuran bagi memantau situasi semasa termasuk aspek keselamatan dan aliran trafik di sekitar lokasi.Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang wanita ditahan selepas didapati membawa pisau di malam penutup Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang di sini.Wanita itu dipercayai ditahan petugas keselamatan majlis berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Go to News Site