Sinar Harian
KANGAR – Kerajaan negeri Perlis giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh ekonomi negeri termasuk melalui penganjuran program berasaskan komuniti seperti Nat Antarabangsa Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Perlis 2026.Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, pendekatan tersebut selari dengan usaha membangunkan sektor agromakanan moden yang bukan sahaja meningkatkan pengeluaran, malah membuka peluang kepada koperasi dan usahawan memasarkan produk secara terus kepada pengguna.Menurutnya, platform seperti nat antarabangsa membolehkan produk tempatan diketengahkan ke pasaran selain menjadi medan untuk usahawan menguji permintaan, membina jenama serta menjana pendapatan."Perlis sebagai negeri sempadan mempunyai kelebihan dalam memperkukuh perdagangan rentas sempadan Malaysia-Thailand."Penyertaan usahawan dari kedua-dua negara dalam program ini membuktikan potensi Perlis sebagai pintu masuk kepada aktiviti perdagangan serantau yang lebih terancang," katanya pada Ahad.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Wacana Nat Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026: Cabaran dan Masa Depan di Dewan JPS di sini.Tambah beliau, kerajaan negeri turut merancang untuk mengaktifkan semula laluan keluar masuk di Kuala Perlis ke Saturn dalam tempoh terdekat bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan pelancongan."Langkah ini dijangka memberi impak positif kepada ekonomi rakyat Perlis serta mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Thailand, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelancongan," ujarnya.Sementara itu, seramai 10,000 pengunjung disasarkan memeriahkan NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad.Pengerusi Perhubungan ANGKASA Negeri Perlis, Dr Ammar Hassan berkata, acara pertama kali itu dianjurkan dengan matlamat memperkukuh jaringan ekonomi koperasi, komuniti dan usahawan tempatan melalui platform jualan, promosi produk serta padanan perniagaan.Menurutnya, program berkenaan menghimpunkan peserta koperasi, usahawan mikro, kecil dan sederhana serta agensi kerajaan dan pemain industri dari dalam dan luar negara."Sebanyak 50 pempamer koperasi mengambil bahagian dengan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk makanan dan minuman, barangan keperluan asas, hasil pertanian serta perkhidmatan inovatif."Kepelbagaian penyertaan ini mencerminkan keupayaan gerakan koperasi dalam memenuhi keperluan pasaran semasa, di samping menunjukkan potensi besar sektor ini untuk terus berkembang dalam landskap ekonomi negara," katanya.Tambah beliau, program tersebut turut menyediakan ruang komprehensif kepada koperasi untuk memasarkan produk secara terus kepada pengguna selain membuka peluang jaringan perniagaan bersama rakan strategik.
Go to News Site