Collector
Seorang suspek, mangsa dipercayai saling kenal lebih setahun | Collector
Seorang suspek, mangsa dipercayai saling kenal lebih setahun
Sinar Harian

Seorang suspek, mangsa dipercayai saling kenal lebih setahun

KOTA BHARU – Hubungan antara mangsa kes bunuh di Ketereh, Nurfisya Zulkifly dengan salah seorang suspek lelaki berusia 19 tahun dipercayai sudah saling mengenali sejak kira-kira setahun lalu.Perkara itu didedahkan rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, 19, yang memaklumkan bahawa arwah Nurfisya Zulkifly pernah berkongsi mengenai individu berkenaan dalam perbualan mereka sebelum ini."Saya ada dengar daripada Nurfisya sebelum ini bahawa dia kenal lelaki itu sejak lebih kurang setahun lalu, namun saya tidak begitu pasti mengenai hubungan sebenar mereka," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.Menurutnya, sepanjang mengenali arwah, mangsa dilihat sebagai seorang yang ceria dan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda berdepan masalah serius.Tambahnya, sehari sebelum kejadian, mereka sempat keluar bersarapan bersama rakan lain di sebuah pasar raya di Lembah Sireh."Ketika itu dia seperti biasa, ceria dan tiada perubahan ketara."Kami berbual seperti kebiasaan sebelum masing-masing pulang ke rumah sewa," katanya.Nurul berkata, berita kejadian itu amat mengejutkan dirinya dan rakan-rakan kerana arwah dikenali sebagai seorang yang baik serta mudah didekati.Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak pengurusan KPTM juga menasihatkan pelajar agar lebih berhati-hati serta mengutamakan keselamatan diri terutama bagi mereka yang tinggal di luar kampus."Mereka juga mengingatkan supaya pelajar tidak keluar bersendirian dan sentiasa bergerak secara berkumpulan bagi mengelakkan perkara tidak diingini," katanya.Selain itu, satu majlis tahlil dan bacaan Yasin turut diadakan di kolej pada malam ini bagi mendoakan kesejahteraan arwah, termasuk penyertaan pelajar yang mengikuti secara dalam talian.Sebelum ini, media melaporkan mayat Nurfisya, 19, ditemukan orang awam di atas jalan di kawasan sawah dengan 61 kesan tikaman pada tubuhnya.Susulan kejadian itu, polis menahan dua remaja lelaki berusia 19 tahun serta sepasang suami isteri warga emas bagi membantu siasatan, dengan tempoh reman antara tiga hingga tujuh hari.

Go to News Site