Collector
Pasukan khas pantau media sosial, KLIA, elak penipuan badal haji | Collector
Pasukan khas pantau media sosial, KLIA, elak penipuan badal haji
Sinar Harian

Pasukan khas pantau media sosial, KLIA, elak penipuan badal haji

BACHOK – Kerajaan menggerakkan pasukan khas bagi memantau tawaran mencurigakan berkaitan perkhidmatan badal haji di media sosial dalam usaha membanteras kegiatan penipuan.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, pemantauan itu dilaksanakan secara berterusan termasuk juga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji untuk memastikan umat Islam tidak menjadi mangsa sindiket."Setakat ini, belum ada sebarang aduan rasmi berkaitan penipuan badal haji bagi musim semasa namun langkah berjaga-jaga terus diperkukuh melalui pemantauan di lapangan terbang selain di media sosial."Pemantauan dibuat bagi mengelakkan rakyat tertipu dan kecewa di saat-saat akhir," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Pemerkasaan Perusahaan Bakeri dan Pastri di Kampung Telong di sini pada Ahad.Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Mustakim Mohamad.Sebelum ini, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terperdaya dengan perkhidmatan badal haji meragukan terutama yang ditawarkan pada harga rendah luar biasa.Zulkifli berkata, pasukan pemantau yang juga ditempatkan di KLIA itu memandangkan semua jemaah haji kini berlepas melalui satu pintu utama berikutan pelaksanaan sistem perjalanan berpusat.Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya bersama Lembaga Tabung Haji juga sentiasa mengeluarkan peringatan kepada orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran badal haji yang tidak sah."Tiada kadar standard ditetapkan, namun orang ramai dinasihatkan supaya merujuk terus kepada Tabung Haji bagi mendapatkan pengesahan sebelum membuat sebarang bayaran."Penting memastikan ibadah haji dilaksanakan secara sah dan mengikut ketetapan selain mengelakkan kerugian kewangan," katanya.Sementara itu, pada program tersebut, seramai 30 peserta wanita dari Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya Kelantan (Proka) terlibat dan dibantu lebih berdaya saing serta meningkatkan pendapatan melalui pemasaran produk pastri.

Go to News Site