Sinar Harian
SEREMBAN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang mendesak supaya Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dipanggil bagi mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.Ketua AMK Negeri Sembilan, Mohamad Hamizan Mohd Bahtiar berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah jelas merupakan percubaan terancang untuk menggugat kestabilan politik negeri melalui pintu belakang."Walaupun berselindung di sebalik alasan perundangan, hakikatnya ini adalah gerakan politik oportunis yang langsung tidak menghormati semangat Kerajaan Perpaduan."Tindakan ini juga hanyalah menyerlahkan lagi sikap UMNO Negeri Sembilan yang menderhaka kepada Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang telah pun bertitah agar Menteri Besar terus mengalas tugas seperti biasa."Lebih memalukan, kenyataan ini bercanggah secara terbuka dengan pendirian rasmi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini menegaskan sokongan berterusan terhadap Kerajaan Perpaduan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Menurutnya, sikap bercelaru ini membuktikan wujudnya krisis kejujuran dan ketidakselarasan dalam kepimpinan UMNO Negeri Sembilan.Tambahnya, gerakan tersusun antara UMNO dan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini semakin jelas dengan niat untuk merampas kuasa tanpa mandat rakyat."Ini bukan lagi sekadar 'tebuk atap', tetapi cubaan 'tebuk kapal' yang boleh menenggelamkan kestabilan politik Negeri Sembilan."AMK Negeri Sembilan menegaskan bahawa sebarang usaha untuk memanggil Sidang DUN atas dasar kerakusan kuasa tidak harus dilayan sama sekali," katanya.
Go to News Site