Sinar Harian
BESUT - Seorang wanita warga emas maut manakala beberapa lagi penumpang cedera selepas van yang dinaiki terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu dalam kejadian awal pagi Ahad.Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.50 pagi itu melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace di Kampung Anak Ikan, di sini.Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipandu oleh seorang lelaki tempatan bersama sembilan penumpang lain."Kumpulan berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Perak menuju ke Kampung Alor Serdang, Setiu."Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan merempuh sebatang pokok," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Mengulas lanjut, Mohd Rozaime memaklumkan bahawa akibat kemalangan tersebut, beberapa penumpang mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut."Seorang penumpang wanita warga emas, Munah Awang, 76 disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi ketika sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital berkenaan," katanya.Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan merancang perjalanan dengan baik."Pastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan, terutamanya pada waktu malam dan bagi perjalanan jarak jauh," ujarnya.
Go to News Site