Collector
'BN sendiri mahu dilihat kuat tetapi masih bergantung pihak lain' - Danish | Collector
'BN sendiri mahu dilihat kuat tetapi masih bergantung pihak lain' - Danish
Sinar Harian

'BN sendiri mahu dilihat kuat tetapi masih bergantung pihak lain' - Danish

SHAH ALAM - Kenyataan bahawa UMNO-BN hampir pasti bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan sesuatu yang mengejutkan.Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin berkata, malah AMK bersama Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Harapan (PH) sentiasa bersiap siaga di lapangan."Kesiapsiagaan ini merangkumi kesemua 222 kerusi Parlimen dengan fokus kepada kerusi PKR dan memperkukuh jentera PH di seluruh negara."Kita tidak menunggu pilihan raya untuk bekerja, kita sudah pun berada bersama rakyat sejak daripada awal," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.Beliau berkata, AMK tidak melihat kenyataan UMNO-BN itu sebagai ancaman sebaliknya sebagai ruang untuk membuktikan kekuatan sebenar gerakan reformasi.Katanya, strategi solo tetapi masih perlukan persefahaman itu jelas menunjukkan dilema dalaman BN sendiri yang mahu dilihat kuat tetapi masih bergantung kepada pihak lain untuk mengelakkan pertembungan."Ini mengesahkan BN belum benar-benar yakin," katanya.Dalam pada itu, Danish berkata, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar telah meluncurkan Sistem Pengurusan Pilihan Raya 'TERAS' pada Sabtu.Ujarnya, TERAS adalah langkah penting untuk memperkemas gerak kerja, memastikan kempen lebih tersusun, dipantau dengan rapi dan dilaksanakan secara menyeluruh serta disokong kekuatan kecerdasan buatan (AI)."Ini bukti jelas, PKR sedang mempersiapkan jentera disemua peringkat dalam mendepani pilihan raya."Kekuatan kita hari ini bersandar kepada prestasi yang terbukti. Di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, rakyat melihat sendiri pentadbiran yang berintegriti, pelaburan berterusan dan dasar yang menyentuh kehidupan harian. Ini bukan janji tetapi ini realiti yang boleh dirasai oleh rakyat di bawah."Berbanding itu, naratif empat perkara tidak boleh dikompromi yang diulang oleh BN sebenarnya bukan isu baru. Perkara berkaitan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, hak Melayu dan Bahasa Melayu telah pun termaktub dalam Perlembagaan dan dipertahankan oleh semua pihak dalam kerangka negara," katanya.Beliau berkata, hakikatnya tiada istilah Melayu dan Islam terancam dalam kerangka Kerajaan Madani hari ini malahan sebahagian besar institusi yang menjaga kepentingan orang Melayu juga dianggotai oleh pemimpin UMNO sendiri dalam kerajaan."Apabila momokan ini terus dimainkan, ia bukan sahaja tidak berasas malah secara tidak langsung memperlihatkan kelemahan dan kegagalan mereka meyakinkan rakyat dengan fakta sebenar," katanya.Justeru katanya, AMK berdiri dengan penuh keyakinan dengan keadaan bersedia, tersusun dan tidak gentar kerana PRU16 merupakan medan untuk rakyat memilih antara politik lama yang sarat dengan percaturan atau kepimpinan yang terbukti melalui kerja.

Go to News Site