Sinar Harian
PADA 18 April lalu, kapal Ocean Thunder yang membawa minyak mentah sebanyak satu juta tong sehari dari Basrah, Iraq selamat tiba di Malaysia. Berita ini sememangnya memberi sedikit kelegaan bahawa Malaysia masih lagi mampu mendapatkan bekalan minyak mentah dari Timur Tengah meskipun kemelut perang di Iran belum selesai.Ia juga menunjukkan dasar luar Malaysia yang sentiasa mengutamakan diplomasi telah membuahkan hasil berikutan negara Iran membenarkan kapal minyak mentah yang menuju ke Malaysia melalui Selat Hormuz.Berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh pihak Petronas, daripada satu juta tong sehari minyak mentah tersebut, ia bakal menghasilkan antara 62 hingga 64 juta liter diesel, 45 hingga 48 juta liter petrol, 22 hingga 24 juta liter bahan api pesawat, lima hingga enam juta liter LPG dan 18 hingga 25 juta liter bahan-bahan lain.Meskipun demikian, sebuah kapal dari Selat Hormuz ini dilihat tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan bahan api domestik. Sekali lagi, data yang dikongsi oleh Kementerian Kewangan menunjukkan negara perlu mengimport 350,000 tong sehari minyak mentah.Ini bererti negara perlu mengimport minyak mentah sekitar 127.8 juta tong setahun. Sekiranya kita mengandaikan kapasiti kapal untuk mengimport minyak mentah adalah satu juta tong sehari, maka dalam setahun negara memerlukan sekitar 128 kapal.Memandangkan 38 peratus sumber minyak mentah yang diimport datang dari Selat Hormuz, maka jumlah kapal yang datang dari kawasan tersebut adalah 49 kapal dalam tempoh setahun.Jika angka ini dibahagikan dengan 12 bulan, negara memerlukan sekitar empat hingga lima kapal untuk membawa minyak mentah dari Selat Hormuz setiap bulan.Berdasarkan berita yang diterima, kita boleh mengandaikan bahawa pada April hanya sebuah kapal berjaya tiba di Malaysia, iaitu kurang daripada empat hingga lima kapal yang diperlukan dalam tempoh sebulan. Ini bermakna bekalan minyak mentah dilihat terjejas dan stok minyak mentah tidak dapat dikumpulkan pada kadar biasa seperti sebelum berlakunya perang di Iran.Dengan kata lain, penggunaan minyak mentah perlu dikurangkan dan diberikan keutamaan kepada sektor yang lebih penting.Di sini, peranan Bekerja Dari Rumah (BDR) adalah penting bagi memastikan penggunaan bahan api dapat dikurangkan. Ia bertujuan memastikan jangka hayat stok minyak mentah dapat dipanjangkan.Kita tidak mahu situasi kehabisan bahan api berlaku. Jika ia berlaku, ia boleh mengundang pelbagai mudarat seperti suasana panik dan huru-hara. Sudah pasti sektor swasta turut terkesan, yang mana ekonomi berpotensi lumpuh disebabkan gangguan terhadap sektor pengangkutan serta rantaian bekalan dan perniagaan.Tidak dinafikan BDR ini hanya terpakai terhadap beberapa jenis pekerjaan, yang mana pihak majikan lebih arif untuk menentukan pekerja yang boleh dibenarkan atau sebaliknya.Faktor teknologi telah memungkinkan BDR dilaksanakan secara berkesan, di mana mesyuarat boleh dijalankan secara dalam talian. Secara umumnya, banyak perkara berkaitan BDR telah dipelajari semasa menghadapi Covid-19. Namun, kita seolah-olah tidak mahu belajar daripada krisis yang telah dilalui sebelum ini.Justeru, sementara kita masih mempunyai masa, pelan bagi mengelakkan krisis bahan api daripada terus meruncing perlu dilaksanakan dengan kadar segera oleh semua pihak.*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad
Go to News Site