Sinar Harian
SHAH ALAM - "Harga tak logik, tapi ramai masih terpedaya."Itu realiti lambakan iklan badal haji serendah RM2,000 hingga RM3,500 yang kini kembali memenuhi media sosial menjelang musim haji 1447H/2026M.Semakan Sinar Harian di beberapa kumpulan Facebook mendapati, meskipun amaran keras sudah berkali-kali dikeluarkan pihak berkuasa, pihak terlibat terus berani memancing mangsa dengan tawaran harga ‘Rahmah’ yang mustahil untuk dilaksanakan secara sah.Bagi waris yang terdesak mahu menghibahkan pahala buat arwah ibu bapa, slogan emosi seperti "hadiah terakhir untuk arwah" dan "amanah anda kami laksanakan" menjadi umpan paling mujarab sehingga ada yang sanggup mengetepikan logik kos permit (tasrih) di Arab Saudi yang kini mencecah lebih RM11,000.Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azra, 42, meluahkan rasa terkilan selepas menyedari pakej RM2,500 yang dibayarnya berkemungkinan besar adalah penipuan."Mula-mula nampak macam profesional sebab ada sijil, air zamzam dan sejadah. Tapi bila fikir balik, macam mana mereka bayar kos permit di sana? Saya mula rasa tak sedap hati bila ejen mula beri jawapan pusing-pusing bila ditanya siapa pelaksana di Makkah," katanya.Lebih mengejutkan, terdapat dakwaan tular mengenai taktik ‘bedal haji’ di mana satu pelaksana memegang sehingga 400 nama penama, satu tindakan yang jelas melanggar hukum syarak yang menetapkan nisbah satu pelaksana bagi satu penama sahaja.Pemerhatian lanjut mendapati taktik tekanan psikologi digunakan dengan mewujudkan iklan kuota palsu seperti "hanya 200 peserta terawal" bagi mendesak waris membuat bayaran segera tanpa sempat berfikir panjang atau membuat semakan dengan Lembaga Tabung Haji.Situasi ini bukan sahaja dibimbangi menyebabkan rugi ribuan ringgit, malah ibadah mungkin tidak sah.
Go to News Site