Sinar Harian
PONTIAN – "Bila angin kuat, rumah bergoyang, bumbung terbang... saya terus peluk anak-anak dan laung azan."Demikian luah Faizul Paijan, 45, salah seorang penduduk Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas di sini yang terjejas selepas ribut kuat merosakkan puluhan rumah pada petang Ahad.Menurutnya, dia terkejut apabila melihat pusaran angin berhampiran rumahnya."Saya tak pernah alami kejadian macam ini sejak menyewa selama lapan tahun. Ketika kejadian, saya bersama isteri dan tiga anak berada di rumah."Hujan lebat disusuli angin kencang kira-kira jam 3.40 petang menyebabkan suasana bertukar kelam-kabut."Tiba-tiba bumbung rumah diterbangkan angin dan saya segera peluk anak kedua dan ketiga berusia 12 serta 10 tahun. Isteri dan anak sulung berusia 15 tahun berada di dapur ketika itu," katanya.Faizul berkata, mereka kemudian berlari ke rumah jiran yang terletak kira-kira 100 meter bagi mendapatkan perlindungan selepas hampir keseluruhan bumbung rumah mereka diterbangkan angin.Anak kena hempap siling runtuhSeorang lagi penduduk, Mohammad Nor Azman Rosman, 34, berkata, dia mendengar bunyi angin yang kuat di luar rumah selepas selesai solat."Angin sangat kuat ketika itu. Saya segera keluar dari bilik dan terkejut lihat bumbung rumah sudah tiada. Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya juga lihat anak saya terjatuh selepas terhempap siling yang runtuh."Ketika itu, fikiran saya memang kosong. Saya tidak tahu nak buat apa dulu. Saya hanya fikir nak selamatkan tiga orang anak dan isteri saya dahulu," katanya.Tinjauan di lokasi mendapati, penduduk bertungkus-lumus mengalihkan barangan ke tempat lebih selamat selain mengemas sisa runtuhan akibat ribut berkenaan.Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, kebanyakan kerosakan membabitkan bahagian bumbung rumah yang tercabut sehingga menyebabkan perabot dalam kediaman turut rosak."Penduduk kini sedang memindahkan barangan masing-masing, manakala kawasan terjejas dipantau pihak polis bagi memastikan keselamatan," katanya.Susulan kejadian itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan Melayu Raya bagi menempatkan mangsa terjejas.Seramai 26 keluarga membabitkan 106 penduduk dari Kampung Melayu Raya Rizab 1, Jalan Tahfiz dipindahkan ke PPS berkenaan selepas 29 rumah dilaporkan mengalami kerosakan.Terdahulu, rakaman video kejadian ribut berdurasi 55 saat itu tular di media sosial memaparkan pusaran angin kuat sehingga menerbangkan objek dipercayai kepingan zink.
Go to News Site