Collector
Lelaki maut selepas daki Gunung Lambak | Collector
Lelaki maut selepas daki Gunung Lambak
Sinar Harian

Lelaki maut selepas daki Gunung Lambak

KLUANG – Seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri selepas mendaki puncak Gunung Lambak di sini bersama-sama tiga rakannya pada petang Ahad.Mangsa, Muhamad Nur Hakimi Mohd Haris, 32, dan rakannya yang datang dari Felda Sungai Sibol, Kulai, sudah berjaya menawan puncak gunung tersebut.Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, semasa perjalanan turun mangsa yang juga pekerja kilang mengalami sesak nafas dan pengsan.Beliau berkata, sebelum itu pihak polis menerima laporan kejadian itu pada jam 1.42 petang mengenai seorang lelaki tidak sedarkan diri di atas gunung tersebut."Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia selepas berjaya dibawa turun oleh pasukan penyelamat."Kejadian berlaku pada ketinggian kira-kira 800 meter dari aras laut."Operasi menyelamat dijalankan bersama pasukan bomba, namun hujan lebat di lokasi kejadian menyukarkan usaha membawa turun mangsa."Mangsa berjaya dibawa turun jam 6.15 petang, namun pemeriksaan oleh Penolong Pegawai Perubatan mendapati dia telah meninggal dunia," katanya.Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk tindakan lanjut selepas pengecaman dilakukan oleh ahli keluarga.Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Pegawai Bomba Kanan Mohd Ridzuan Mohd Zait berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.28 petang sebelum seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi.Katanya, mangsa ditemui kira-kira 2,300 meter dari kaki gunung sebelum dibawa turun menggunakan pengusung dan tali penyelamat."Sebaik tiba di kaki gunung, pemeriksaan pihak ambulans mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Go to News Site