Sinar Harian
SHAH ALAM - Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan penipuan badal haji dikira satu dosa besar."Penipuan badal haji adalah satu dosa yang besar kerana ia melibatkan hak ALLAH Taala dan hak manusia," katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.Sebelum ini, media melaporkan, rakyat Malaysia diingatkan tidak mudah terperdaya dengan tawaran perkhidmatan badal haji meragukan terutama yang ditawarkan pada harga luar biasa rendah berbanding kos sebenar ibadah itu.Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir memaklumkan, kos menunaikan haji adalah tinggi, justeru sebarang tawaran tidak munasabah dikhuatiri tidak memenuhi rukun serta wajib haji yang ditetapkan.Sekiranya kos perkhidmatan badal haji ditawarkan terlalu murah, orang ramai perlu berhati-hati kerana ia mungkin melibatkan perkara yang tidak memenuhi syarat ibadah tersebut.Tengku Mohd Dzaraif berkata, bagi pakej haji domestik di Arab Saudi sendiri, kos minimum kira-kira RM9,000 hingga RM10,000.Beliau bagaimanapun menjelaskan, setakat ini tiada laporan diterima membabitkan rakyat Malaysia berhubung penipuan badal haji.Namun, kes yang dilaporkan media tempatan melibatkan negara lain membuktikan kegiatan itu masih berlaku.Justeru, beliau menasihatkan orang ramai membuat semakan teliti dan tidak terburu-buru melakukan bayaran kepada pihak yang menawarkan perkhidmatan tersebut.Terbaharu, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) menegaskan bahawa tawaran perkhidmatan badal haji pada kadar terlalu rendah, termasuk serendah RM1,500 hingga RM2,000 adalah tidak munasabah dan mustahil untuk dilaksanakan secara sah mengikut peraturan semasa di Arab Saudi.
Go to News Site