Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu serta tekanan geopolitik yang semakin mencabar, kerajaan melihat keperluan mendesak untuk memperkukuh asas ekonomi Bumiputera secara lebih tersusun dan menyeluruh.Ini susulan hakikat bahawa penguasaan ekuiti korporat Bumiputera masih berada pada tahap sekitar 18.4 peratus, selain penyertaan yang masih terhad dalam sektor bernilai tinggi, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa pendekatan sedia ada perlu diperkasakan.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut digerakkan menerusi tujuh tujahan strategik di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang dirangka sebagai kerangka jangka panjang bagi tempoh 40 tahun akan datang.Menurut beliau, pendekatan itu memberi penekanan kepada pengukuhan MARA sebagai institusi yang menggabungkan kekuatan pendidikan dan keusahawanan sebagai teras utama pembangunan."Kita perlu melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan separa mahir, terutama dalam bidang seperti minyak dan gas serta kecerdasan buatan (AI)."Melalui pendidikan, kita membasmi kemiskinan dan kefakiran. Melalui keusahawanan pula, kita mencipta kekayaan," katanya ketika berucap di Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa pendekatan penyertaan, pemilikan dan penguasaan (3P) perlu dilaksanakan secara seimbang agar Bumiputera tidak hanya menjadi pemain kecil dalam ekonomi, sebaliknya mampu muncul sebagai peneraju dalam sektor strategik seperti teknologi digital, industri halal, tenaga dan logistik.Jelasnya, usaha tersebut perlu bermula dengan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, diikuti pembinaan syarikat berdaya saing sebelum diperkukuh melalui penskalaan untuk menguasai pasaran."Seiring dengan itu, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan modal insan serta pengukuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)."Sasaran kita adalah untuk meningkatkan tenaga kerja mahir dan separa mahir Bumiputera kepada 40 peratus dalam tempoh empat dekad dilihat sebagai langkah penting, selari dengan hasrat melahirkan perniagaan yang bukan sahaja berdaya tahan, malah berpotensi berkembang sehingga ke peringkat penyenaraian di pasaran saham," katanya.Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Tambun turut menekankan kepentingan penyelarasan ekosistem MARA sebagai pusat sehenti pembangunan Bumiputera.Ujar beliau, langkah pembentukan agenda payung besar ekonomi kumpulan tersebut menggabungkan elemen pendidikan, keusahawanan dan pelaburan, sekali gus mampu meningkatkan pulangan serta mengurangkan kerenah birokrasi."Saya menggalakkan lebih ramai usahawan Bumiputera berani menembusi pasaran global dengan memanfaatkan peluang dalam sektor seperti halal, hospitaliti dan penjagaan, sebagaimana yang dibuktikan melalui kejayaan program Gate to Global MARA.Dalam perkembangan sama, Anwar mengingatkan bahawa kejayaan segala perancangan ini amat bergantung kepada aspek integriti dan tadbir urus yang baik.Justeru beliau melihat usaha meremajakan Akta MARA cukup penting bagi memastikan organisasi itu kekal relevan dan mampu memenuhi tuntutan semasa, di samping selari dengan aspirasi Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan."Kalau Bumiputera lemah, maka sebahagian besar kekuatan negara juga akan terjejas. Sebab itu kita mesti pastikan mereka terus diperkasa," tegasnya.Anwar turut mengulas mengenai dasar 'affirmative action' atau sokongan kepada penduduk asal dalam usaha memperkukuh prinsip keadilan merentasi semua lapisan masyarakat.Beliau menegaskan bahawa kepentingan kecemerlangan tidak ditolak, namun keadilan perlu dijadikan asas utama."Kita mesti memastikan bahawa keadilan tidak hanya terhad kepada golongan elit, tetapi merangkumi semua lapisan masyarakat."Tanpa peluang yang sama, mustahil untuk mengharapkan hasil yang sama. Sebagai contoh, tidak adil untuk membandingkan sekolah di Kuala Lumpur dengan sekolah di kawasan pedalaman tanpa menyediakan asas yang setara," ujarnya.
Go to News Site