Sinar Harian
KANGAR – Bekas Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perlis, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad mengumumkan kembali ke pangkuan UMNO bermula hari ini.Beliau membuat keputusan berkenaan selepas meletakkan semua jawatan dalam parti lamanya serta Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri dan nasional pada 29 April lalu.Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas melalui pertimbangan mendalam selain perbincangan bersama penasihat serta pasukannya."Saya dengan rendah hati merakamkan penghargaan kepada pimpinan pelbagai parti termasuk PKR, Pas, Bersatu dan UMNO yang memberi kepercayaan serta jemputan untuk bersama mereka."Namun selepas pertimbangan sewajarnya, saya mengambil keputusan untuk kembali menyertai UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.Ahmad Fadhzil berkata, beliau bukan asing dalam parti berkenaan kerana pernah menjadi ahli sejak 2004 melalui Kelab UMNO Luar Negara di Ukraine serta memegang beberapa portfolio termasuk Biro Kebajikan Pelajar dan Protokol.Katanya, UMNO dilihat sebagai wadah perjuangan paling sesuai untuk beliau meneruskan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara."Saya melihat UMNO sebagai ‘Rumah Bangsa’ untuk saya meneruskan perjuangan dan menyumbang kepada pembangunan negeri serta rakyat," ujarnya.Beliau turut menegaskan komitmennya untuk memperkukuh parti di Perlis dengan memberi tumpuan kepada beberapa agenda utama termasuk membela nasib Melayu Islam, merancakkan pertumbuhan ekonomi, membuka peluang pekerjaan, memartabatkan pendidikan serta memperkasa sistem kesihatan.Tambahnya, perjuangan yang dibawa bukan sekadar politik, sebaliknya satu amanah besar demi masa depan negeri dan generasi akan datang."Saya melangkah masuk semula ke dalam perjuangan ini dengan penuh rasa tanggungjawab," katanya.Dalam kenyataan sama, beliau turut menggunakan frasa ‘Saya sudah clock in’ sebagai simbolik permulaan semula perjuangannya dalam arena politik bersama UMNO.Pada 29 April lalu, Ahmad Fadhzil mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Amanah, Ketua Pemuda Amanah Perlis, Ketua Pemuda Amanah Kangar dan Ketua Biro Kesihatan Pemuda Nasional Amanah.Beliau sebelum ini mewakili PH sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Go to News Site