Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut selepas kereta yang dinaikinya bersama tunang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Batu Caves menghala ke Kepong, berhampiran Taman Layang-Layang di sini pada Isnin.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada."Kita menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 4.53 pagi."Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun bersama tunangnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Mohd. Zamzuri berkata, ketika kejadian, kenderaan tersebut dipercayai bergerak di lorong kiri sebelum pemandu disyaki gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke bahu kiri jalan."Kereta itu kemudian melanggar bahagian belakang sebuah bas sekolah antarabangsa jenis Hino yang diletakkan di tepi jalan tanpa sebarang papan tanda," katanya.Beliau berkata, bas berkenaan diletakkan di lokasi tersebut kerana pemandunya tinggal berhampiran kawasan kejadian."Pemandu Proton Persona terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini menerima rawatan di wad kecemasan dan trauma Hospital Selayang."Punca kemalangan masih dalam siasatan, namun dipercayai pemandu gagal mengawal kenderaan disyaki akibat mengantuk," katanya.Menurutnya, mayat wanita itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat."Sampel darah pemandu turut diambil bagi ujian toksikologi, manakala kedua-dua kenderaan terlibat dibawa ke stor barang kes untuk pemeriksaan lanjut," katanya.Mohd. Zamzuri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," ujarnya.
Go to News Site